RM512.6 juta cukai dikutip LHDN melalui Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 | DagangNews Skip to main content

RM512.6 juta cukai dikutip LHDN melalui Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meluluskan RM1.2 bilion dalam permohonan taksiran cukai di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) 2.0, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Daripada jumlah itu, LHDN mengutip RM512.6 juta cukai di bawah program itu, katanya.

 

SVDP 2.0 telah dilaksanakan mulai 6 Jun tahun lalu sehingga 31 Mei tahun ini.

 

Dalam tempoh yang sama, LHDN meluluskan 141,406 pengakuan sukarela melibatkan 102,572 individu, 27,707 syarikat dan organisasi lain.

 

“(Di bawah) program ini (SVDP 2.0)... pembayar cukai (boleh) membayar cukai mereka sama ada secara ansuran atau sepenuhnya.

 

“Sepanjang SVDP 2.0, permohonan yang diterima LHDN dan Jabatan Kastam telah menunjukkan sokongan yang menggalakkan daripada pembayar cukai,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata Kastam menerima 1,542 pengakuan sukarela daripada pembayar cukai individu dan korporat, melibatkan cukai RM229 juta.

 

“Jumlah ini juga melebihi sasaran yang dijangkakan dengan 500 permohonan melibatkan nilai kutipan cukai sebanyak RM200 juta,” katanya.

 

Cukai yang dikutip di bawah SVDP 2.0 akan dimasukkan ke dalam dana disatukan kerajaan yang memegang semua hasil cukai.

 

“Ia akan digunakan untuk menampung perbelanjaan negara yang diluluskan di Parlimen melalui Bajet tahunan, yang merangkumi projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital dan jalan raya,” tambahnya.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai cukai yang dikutip di bawah SVDP 2.0.

 

Dalam soalan tambahan, Mohd Isam bertanya sama ada akan ada lanjutan SVDP 2.0, yang mana Amir menjawab bahawa tiada rancangan buat masa ini.

 

Beliau berkata ini kerana tempoh yang diberikan sudah cukup untuk pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela.

 

Tambahnya, LHDN mempunyai beberapa program kesedaran awam untuk mendidik individu dan perniagaan mendapatkan nasihat dan panduan mengenai cukai.

 

"Ini termasuk pengurusan cukai dan memahami undang-undang, dan antara lain," katanya.

 

Amir juga memberitahu Dewan bahawa Kastam dan LHDN telah menyediakan strategi audit baharu yang digelar Sistem Pengesahan Audit Pematuhan untuk 2024 hingga 2026 untuk mencegah dan mengesan kebocoran hasil.

 

Beliau berkata elemen SVDP 2.0 akan dimasukkan dalam sistem ini.

 

“Jika... audit mendapati ketirisan hasil, individu dan syarikat akan dinasihatkan untuk mengisytiharkan dan membayar baki cukai, duti atau levi melalui pengakuan sukarela.

 

“Insentif adalah pelepasan penalti sebanyak 100% atau 50%, bergantung kepada tempoh pembayaran oleh individu dan syarikat tersebut,” tambahnya. - DagangNews.com