Rugi bersih Sapura Resources pada 1QFY25 melebar kepada RM19.55 juta kesan kos kewangan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Sapura Resources pada 1QFY25 melebar kepada RM19.55 juta kesan kos kewangan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerugian bersih Sapura Resources Bhd pada suku pertama berakhir 30 April 2024 (1QFY25) melebar kepada RM19.55 juta berbanding RM17.08 juta bagi suku sama tahun lalu disebabkan kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM17.47 juta berbanding RM13.70 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

"Hasil kumpulan bagi tempoh tiga bulan mencatatkan peningkatan ketara didorong oleh peningkatan kadar penghunian Permata Sapura daripada 16% kepada 91% selain terdapat pengelasan semula pendapatan pajakan kewangan daripada hasil semasa.

 

 

"Kerugian bersih kumpulan itu adalah disebabkan kos kewangan yang lebih tinggi daripada hibah terakru daripada pendahuluan Jurudata Sdn Bhd dan bahagian kerugian syarikat kerjasama yang lebih tinggi berbanding suku yang sama sebelumnya," katanya.

 

Mengulas mengenai segmen, kumpulan itu berkata, segmen pegangan pelaburan mencatatkan peningkatan kerugian sebelum cukai daripada RM2.3 juta pada 1QFY24 kepada RM3 juta pada 1QFY25 disebabkan peningkatan perbelanjaan pada suku dalam tinjauan.

 

Bagi segmen penerbangan, hasil 1QFY25 mencatatkan peningkatan 0.6% kepada RM7.9 juta berbanding RM7.8 juta pada tahun sebelumnya selain turut mencatatkan penurunan dalam kerugian sebelum cukai kepada RM800,000 pada suku semasa berbanding kerugian RM1.1 juta pada 1QFY24 disebabkan pembalikan peruntukan kecemasan pada suku semasa.

 

"Segmen hartanah dan penerbangan dijangka terus memberi sumbangan positif dan kumpulan akan terus menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah," katanya.- DagangNews.com