Saham MyEG antara rancak diniagakan, prospek 2H21 dilihat kukuh | DagangNews Skip to main content

Saham MyEG antara rancak diniagakan, prospek 2H21 dilihat kukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - MyEG Services Bhd. dijangka meraih manfaat menerusi vaksin Zifivax yang mungkin digunakan sebagai dos ketiga bagi meningkatkan daya tahan terhadap varian COVID-19. 

 

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi kewangan MyEG yang lebih kukuh pada separuh kedua 2021.

 

Sebelum ini, kumpulan telah menandatangani surat hasrat bagi pembelian 10 juta dos vaksin tersebut yang dijangka dihantar pada suku ketiga ini.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, perkara itu bagaimanapun masih bergantung kepada kelulusan bersyarat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

 

"Walaupun, kerajaan telah memperoleh lebih daripada 70 juta dos vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan mencukupi untuk melindungi 130% keseluruhan populasi, tetapi kami melihat potensi Zifivax akan digunakan sebagai dos ketiga atau penggalak bagi mengekang varian COVID-19 baharu. 

 

"Di samping itu, ia juga akan mendapat kelebihan menerusi potensi pengkomersialan vaksin ini di Malaysia dan Filipina," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Jelasnya lagi, MyEG juga dijangka merekodkan pendapatan kukuh menerusi perkhidmatan berkaitan teknologi kesihatan pada separuh kedua ini yang turut dipacu menerusi peningkatan kapasiti MSG daripada 800 bilion kepada 2,000 apabila kumpulan menyasarkan untuk mempunyai 8 hotel kuarantin menjelang akhir September.   

 

Firma itu mengekalkan saranan tambah bagi saham MyEG dengan harga sasaran pada RM2.50. 

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih MyEG meningkat kira-kira 28% kepada RM80.68 juta berbanding RM63.06 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong konsesi baharu dan perkhidmatan komersial.

 

Malah, pendapatan kumpulan juga melonjak 30% kepada RM161.73 juta berbanding RM124.34 juta tempoh sama tahun sebelum itu apabila konsesi dan perkhidmatan komersial diperkenalkan pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Sementara itu, MIDF Research kekal positif terhadap prospek jangka panjang MyEG ekoran meningkatkan jumlah transaksi e-kerajaan dan pengembangan perniagaan berkaitan konsesi. 

 

"Selain itu, inisiatif berkaitan penjagaan kesihatan, peralihan kepada perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam talian akan menyumbang secara positif kepada kumpulan," tambahnya.

 

Dengan mengambil kira semua faktor itu, MIDF Research menyemak naik saranan terhadap harga saham MyEG kepada beli dengan harga sasaran baharu pada RM2.16 berbanding RM2 sebelum ini.

 

Setakat 10.15 pagi ini, MyEG merupakan antara saham paling rancak diniagakan dengan menokok 3.24% atau 6 sen kepada RM1.91. Ia menyaksikan 13.6 juta saham diniagakan pagi ini. - DagangNews.com