Saham Petronas Dagangan diniagakan tinggi, prospek pemulihan dalam jangkauan | DagangNews Skip to main content

Saham Petronas Dagangan diniagakan tinggi, prospek pemulihan dalam jangkauan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Saham Petronas Dagangan Bhd. mendaki kedudukan kaunter paling untung dalam dagangan pagi ini setelah merekodkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2021 yang lebih mantap. 

 

Setakat 11.35 pagi, harga sahamnya menokok 30 sen atau 1.6% kepada RM19.10 dengan 20,800 saham diniagakan. 

 

Bagi tempoh suku kedua itu, untung bersih Petronas Dagangan melonjak kepada RM82.14 juta berbanding RM3.15 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu berikutan kenaikan harga minyak dan jumlahnya yang lebih tinggi.

 

Pendapatan meningkat kepada RM5.14 bilion berbanding RM2.93 bilion manakala pendapatan asas sesaham naik kepada 8.30 sen daripada 0.40 sen.

 

Untuk tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, ia merekodkan untung bersih sebanyak RM273.25 juta berbanding kerugian bersih RM25.91 juta bagi tempoh sama tahun manakala pendapatan meningkat kepada RM10.25 bilion berbanding RM9.49 bilion tahun lalu.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Petronas Dagangan dengan harga sasaran tidak berubah pada RM18.55. 

 

Penganalisisnya, Low Jin Wu berkata, walaupun prospek pemulihan boleh dijangka tetapi hasil yang lemah akan menjejaskan prestasi harga saham dalam tempoh terdekat. 

 

"Namun, kami percaya harga sahamnya dinilai dengan baik setakat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021-2023 masing-masing sebanyak -35.2%, -23% dan -22.8% dengan mengambil kira pemulihan yang lebih perlahan daripada pandemik COVID-19 dan kebimbangan varian Delta.

 

"Kami berpendapat, pretasi Petronas Dagangan akan terjejas pada suku ketiga disebabkan jualan dijangka merosot ekoran pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan yang masih berterusan hingga kini.

 

"Tetapi, syarikat akan menyaksikan peningkatan pemulihan pada suku keempat apabila kadar vaksinasi semakin meningkat dan ekonomi dibuka semula," tambahnya.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, prestasi separuh pertama Petronas Dagangan adalah di bawah jangkaannya diheret turut oleh margin produk yang rendah di tengah-tengah normalisasi harga minyak mentah dan jualan yang perlahan pada suku kedua.

 

"Bagi suku ketiga ini, kami percaya, ia akan mencatat hasil yang lemah ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan yang turut menjejaskan jumlah jualan.

 

"Kami berharap syarikat kembali rekodkan pendapatan yang lebih baik pada tahun kewangan 2022," katanya.

 

Kenanga Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'market perform' ke atas saham Petronas Dagangan dengan harga sasaran pada RM18.90. - DagangNews.com