KUALA LUMPUR 19 Julai - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyokong penangguhan kuota 80:20 untuk pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan.
Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, sekiranya kuota tersebut dilaksanakan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan akan diwajibkan menggaji 80% pekerja tempatan sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing.
Beliau berkata, sektor ekonomi negara kekurangan antara 1 juta hingga 1.5 juta pekerja asing, terutamanya untuk menjalankan kerja yang tidak dihindari dan dijauhi pekerja tempatan, khususnya pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar).
"Sebagai contoh, walaupun menawarkan gaji melebihi gaji minimum RM 1,500, banyak PKS tidak dapat menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di kilang kecil.
"Oleh itu, adalah tidak tepat bahawa PKS lebih mengutamakan pekerja asing daripada pekerja tempatan, sedangkan kos untuk mengambil pekerja asing seperti permit, pemeriksaan dan insurans kesihatan, tempat tinggal dan bas pekerja jauh lebih tinggi dari pekerja tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut William, berbanding kilang besar yang lebih berautomasi, PKS biasanya kurang berautomasi dan memerlukan lebih banyak pekerja di kilang.
"Malah, ini adalah salah satu sebab mengapa syarikat multinasional menyumberluarkan kerja yang lebih intensif buruh kepada PKS.
"SAMENTA sedang berusaha untuk membantu ahli kami dan PKS secara amnya untuk mengautomasikan dan mendigitalisasikan operasi mereka, tetapi ini melangkaui teknologi dan memerlukan perubahan minda dan proses yang akan mengambil sedikit masa," katanya.
Katanya, sejak pembukaan semula sektor ekonomi, mereka melihat permintaan pasaran dan pesanan dari dalam dan luar negeri menjadi semakin rancak.
"Tetapi kekurangan buruh yang amat ketara menghalang ekonomi negara dari pulang ke tahap pra-pandemik. Banyak pelanggan dan pesanan telah diambil alih oleh negara-negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.
"Jika kuota buruh asing 80:20 ini dilaksanakan, lebih banyak lagi perniagaan akan gulung tikar, berikutan kenaikan kos bahan mentah yang mendadak, kenaikan gaji minimum sebanyak 25% baru-baru ini dan ketidaktentuan ekonomi global berterusan," katanya. - DagangNews.com