Perbelanjaan modal TNB bagi kenaikan tarif elektrik mungkin cecah RM35.5 bilion - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan modal TNB bagi kenaikan tarif elektrik mungkin cecah RM35.5 bilion - CIMB Securities

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan - Perbelanjaan modal (capex) Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi kenaikan tarif elektrik di bawah Tempoh Kawal Selia tiga tahun 4 (RP4) dijangka melonjak sebanyak 21% melebihi anggaran yang ditetapkan sebanyak RM35.5 bilion, kata CIMB Securities. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi setiap tambahan capex sebanyak RM1 bilion melebihi RM35.5 bilion, model aliran tunai terdiskaun (DCF) TNB akan menaik sebanyak 3.6 sen bagi setiap saham. 

 

Katanya, sebagai contoh, jika capex mencapai RM42.8 bilion, ia mewakili kenaikan 26 sen bagi setiap saham TNB, bersamaan peningkatan 2%. 

 

"Unjuran kami terhadap TNB tidak berubah. 

 

"Ramalan pendapatan sesaham (EPS) teras tahun kewangan semasa pada 2025 hingga 2027 juga mungkin dipertingkatkan sebanyak 7% berdasarkan capex maksimum yang dibenarkan sebanyak RM42.8 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 


TNB pada 26 Disember mengumumkan bahawa kerajaan Malaysia meluluskan pelaksanaan RP4 di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) bagi Januari 2025 sehingga Disember 2027.

 


Tarif elektrik semasa akan berkuat kuasa sehingga Jun 2025, dengan TNB mencadangkan kenaikan tarif asas sebanyak 14% kepada 45.62 sen/kWj mulai Jul 2025.

 


Kenaikan tarif elektrik itu adalah akibat unjuran kos arang batu yang lebih tinggi iaitu AS$97 setan berbanding AS$79 setan dalam RP3 dan harga gas RM35 sehingga RM46 sejuta unit terma British (MMBtu) daripada RM30-33/MMBtu dalam RP3.

 

Angka unjuran ini lebih hampir kepada paras semasa, yang mana pada suku ketiga tahun lepas, arang batu berada pada AS$112/MT dan gas pada RM35–46/MMBtu.

 

Firma itu berkata, purata tarif efektif ialah 46.16/kWj pada 1H24, selepas memasukkan surcaj pas-melalui kos ketidakseimbangan (ICPT), yang mana pelanggan membayar sebahagiannya untuk menanggung kos bahan api tambahan melebihi unjuran RP3.

 

Bagi RP4, CIMB Securities menganggarkan terdapat beberapa surcaj ICPT kerana kos arang batu semasa adalah lebih tinggi daripada unjuran RP4, yang mungkin membawa purata tarif efektif kepada 48 sehingga 49 sen/kWj.

 

“Berdasarkan ini, kenaikan sebenar dalam purata tarif efektif mungkin kira-kira 5% daripada 1H24.

 

"Walau apa pun, impaknya adalah neutral kerana rangka kerja IBR menyediakan pelarasan kawal selia supaya TNB akhirnya memperoleh kadar pulangan kawal selia ke atas asas aset terkawal (RAB)," katanya.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan "beli" ke atas TNB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM15.80 sesaham, sementara menunggu keterangan mengenai pembelanjaan luar jangka.

 

Firma itu pada masa ini mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) masing-masing sebanyak 12.1% dan 7.4% tahun ke tahun (YoY), pada FY25 dan FY26. - DagangNews.com