Reservoir Link Energy terima kontrak RM20 juta bagi pembinaan ladang solar terapung di Kuala Langat | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link Energy terima kontrak RM20 juta bagi pembinaan ladang solar terapung di Kuala Langat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan - Penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy Bhd (Reservoir Link) mengumumkan, syarikat bersekutu milik 45% mereka, Founder Group Limited, menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai kira-kira RM20 juta untuk pembinaan ladang solar terapung di Kuala Langat, Selangor.

 

Dengan keluasan kira-kira 9.71 hektar, projek itu yang menggunakan teknologi fotovoltaik terapung, direka untuk menjana 10.0MWac/15.0MWp kuasa solar dan dijangka siap pada Jun 2025.

 

Teknologi terkini tersebut melibatkan panel solar yang dipasang pada platform terapung di kawasan air, yang akan membantu mengurangkan penggunaan tanah sambil memaksimumkan penjanaan tenaga. 

 

Ia dijangka memberi sumbangan terhadap pemeliharaan tanah dan habitat semula jadi, sekali gus mengukuhkan misi kumpulan dalam menyediakan rumusan tenaga yang berdaya cipta dan mesra alam. 

 

Ia juga menekankan komitmen kumpulan terhadap matlamat bebas karbon.

 

Founder Group Limited akan bertindak sebagai subkontraktor dan bertanggungjawab dalam membekalkan tenaga kerja, peralatan tangan, bahan-bahan serta jentera dan peralatan yang diperlukan untuk menyokong pelaksanaan syarat-syarat umum dan perundingan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Founder Group Limited atas pelantikan mereka sebagai subkontraktor utama untuk projek ladang solar berkenaan.

 

"Berdasarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan tenaga boleh diperbaharui, kami berharap dapat terus memainkan peranan dan menyokong matlamat tenaga boleh diperbaharui Malaysia sambil menggalakkan masa depan yang lebih hijau dan mampan," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com