KUCHING 25 Julai — Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) mencapai persetujuan untuk memastikan kelancaran proses pengambilalihan MASwings Sdn Bhd oleh kerajaan Sarawak tanpa mengganggu operasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS).
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin hari ini berkata persetujuan itu dicapai apabila beliau mengetuai delegasi Sarawak ke mesyuarat dengan MAG di Petaling Jaya semalam.
“Ia juga diputuskan bahawa satu lagi memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan MAG, untuk memulakan perbincangan lanjut dan membuka jalan kepada pengambilalihan yang lancar.
“Melalui MoU komprehensif ini, kedua-dua pihak boleh memulakan perbincangan mendalam, mewujudkan parameter yang jelas, menentukan skop, menetapkan garis masa, dan memastikan proses yang diperkemas untuk pengambilalihan MASwings,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata mesyuarat MAG berhubung pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak adalah susulan pertemuan dengan pemegang saham utama MAG, Khazanah Nasional Berhad pada 7 Julai dan pemeteraian MoU mengenai pengambilalihan RAS antara kerajaan Sarawak dan persekutuan lima hari lalu.
Yang lain dalam delegasi Sarawak termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Jerip Susil; Peguam Negeri Datuk Sri Talat Mahmood; Timbalan Setiausaha Sarawak Datuk Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengarah Perancang Ekonomi Negeri Lester Matthew.
Mewakili MAG termasuk ketua pegawai eksekutif kumpulannya Datuk Izham Ismail, ketua pegawai strategi dan transformasi kumpulan Bryan Foong dan ketua dan ketua pegawai operasi kumpulan MASwings Sdn Bhd Suresh Singam. - DagangNews.com