KUALA LUMPUR 23 Ogos - Sarawak Plantation Berhad mengurangkan sasaran pengeluaran buah tandan segar (BTS) daripada 400,000 tan kepada 336,000 tan pada suku kedua 2023 kesan daripada jumlah pengeluaran yang lemah daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.
Public Investment Research (PublicInvest) berkata, pada suku kedua, tiada sebarang kawasan menunjukkan peningkatan mankala kawasan yang memberi beban kepada kumpulan berjaya dikurangkan sebanyak 170 hektar.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, penanaman semula di atas seluas 320 hektar telah dijalankan dengan sasaran setahun penuh sebanyak 1,500 hektar.
Kos baja terus menyusut pada Ogos dan daripada jumlah penggunaan baja, NOP, kompaun, urea serta fosfat masing-masing menyumbang 50%, 30%, 10% dan 10%.
"Pada suku kedua, penggunaan baja mencapai 50% daripada sasaran pusingan kedua dengan purata 60% untuk separuh pertama (tiga pusingan setiap tahun).
"Kumpulan itu juga telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM60 juta, dengan RM40 juta untuk penanaman semula dan baki RM20 juta untuk naik taraf kilang," katanya.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM22.6 juta pada 1HFY23, penyusutan sebanyak 66.3%.
Firma itu berkata, walaupun pengeluaran BTS dijangka lebih rendah namun mereka kekal dengan unjuran pendapatan kumpulan itu.
Mereka menjangkakan peningkatan kukuh pada separuh kedua berikutan pemulihan harga minyak sawit mentah (MSM) kesan pengeluaran yang tinggi serta harga baja yang normal.
"Kami kekal dengan saranan 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah RM2.16 sesaham," katanya. - DagangNews.com