ScaleUp Malaysia lancar program Kohort 3 | DagangNews Skip to main content

ScaleUp Malaysia lancar program Kohort 3

 ScaleUp Malaysia lancar program Kohort 3

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Agensi penggalak pembangunan usahawan, ScaleUp Malaysia melancarkan program Kohort 3 yang menyasarkan syarikat ‘scaleup’ yang berpotensi tinggi.

 

Rakan Pengurusan (Managing Partner) Scaleup Malaysia, Xelia Tong berkata, bagi Kohort 3, pihaknya sedang berusaha untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat ‘scaleup’ untuk memasuki potensi pasaran serantau dan global.

 

Xelia Tong
Xelia Tong

 

"Memanfaatkan pengalaman rakan kongsi global dalam membantu syarikat ‘scaleup’ berjaya keluar daripada pasaran tempatan akan menjadi kunci untuk pembangunan program Kohort 3," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Syarat untuk menyertai program Kohort 3 adalah syarikat perlu mempunyai model perniagaan atau operasi yang mampu 'mengganggu' pasaran sedia ada atau mempunyai rumusan yang bersedia menghadapi cabaran dan memanfaatkan setiap peluang ekonomi pada masa depan.

 

Program ScaleUp Malaysia itu mendapat sambutan luar biasa daripada pemohon dan permohonan akan ditutup pada 2 September nanti.

 

 

Peserta akan disenarai pendek berdasarkan lima kriteria utama iaitu;

  1. Produk atau perkhidmatan yang mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar untuk pasaran Malaysia, ASEAN dan antarabangsa,
  2. Mampu membuktikan produk/perkhidmatan mempunyai kesesuaian pasaran,
  3. Bersedia berusaha mendapat dana di masa depan,
  4. Telah menjana keuntungan dan
  5. Mempunyai pengasas yang bersemangat dan berdaya maju.

 

 

Pada pelancaran program tersebut, ScaleUp Malaysia turut mengumumkan kerjasama dengan dua firma modal teroka, Quest Ventures yang berpangkalan di Singapura dan Indelible Ventures dari Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi sebahagian daripada usaha memajukan syarikat terpilih.

 

Secara kolektif, penyertaan syarikat-syarikat tersebut akan membawa ScaleUp Malaysia akses kepada rakan kongsi, pelabur dan rangkaian lain di Asia Tenggara dan AS yang mampu mempercepatkan pertumbuhan di masa depan.

 

Quest Ventures adalah sebuah firma modal teroka serantau yang berpusat di Singapura telah memasuki tahun kedua bekerjasama dengan ScaleUp Malaysia dalam membangunkan 20 usahawan dan juga melabur bersama terhadap 10 syarikat pemula dalam program Kohort 2.

 

Indelible Ventures, dana yang berpusat di AS dengan mandat untuk melabur dalam syarikat permulaan Malaysia, meletakkan sasaran meningkatkan syarikat skala teknologi dengan produk B2B berpotensi untuk berkembang di peringkat antarabangsa yang menjadikannya rakan strategik di masa hadapan.

 

Dalam Kohort 3, Quest Ventures akan melabur bersama ke dalam tujuh syarikat, manakala Indelible Ventures akan melabur ke dalam lima syarikat dalam kohort ini.

 

Perkongsian pelaburan akan menghasilkan jumlah pelaburan sekitar AS$1 juta (RM4.23 juta) untuk membangun dan mengembangkan syarikat ‘scaleup’ di Malaysia, dengan menyasarkan 20 syarikat akan disenarai pendek untuk permohonan Kohort 3.

 

Rakan perniagaan Quest Ventures, Jeffrey Seah berkata, pengalaman bekerja dengan pasukan ScaleUp Malaysia dalam Kohort 2 sebelum ini meningkatkan keyakinan terhadap potensi syarikat di Malaysia.

 

Jeffrey Seah
Jeffrey Seah

 

"Dalam Kohort 3, kami ingin melangkah lebih jauh dengan membantu para pengasas syarikat itu mengembangkan pemikiran dan menyempurnakan pendekatan mereka dalam meningkatkan perniagaan, dengan mendedahkan mereka kepada rangkaian kami di rantau ini dan seluruh dunia,” katanya.

 

Sementara itu, Rakan Pengurusan Indelible Ventures, Kevin Brockland CFA memberitahu, pihaknya memutuskan untuk bekerjasama dengan ScaleUp Malaysia kerana sama-sama mempunyai pendekatan nilai tambah yang umum serta mengiktiraf Malaysia.

 

Kevin Brockland CFA
Kevin Brockland CFA

 

"Ia memerlukan ciri-ciri tertentu untuk menjadi usahawan yang berjaya, iaitu gabungan semangat, pengetahuan dan inovatif. 

 

"Kami mengambil pendekatan nilai tambah yang tinggi dengan setiap pelabur untuk membangun strategi dan melaksanakan pertumbuhan hingga mampu memasuki skala antarabangsa," katanya lagi. - DagangNews.com