KUALA LUMPUR 25 Mei – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mencatatkan penurunan hasil sebanyak 13.5% kepada RM32.4 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3Q FY2023) berbanding RM37.5 juta yang diraih pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi unjuran segmen, bahagian pembuatan, yang mengeluarkan konkrit pratuang dan bahan binaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), mencatatkan hasil sebanyak RM23.2 juta pada 3Q FY2023 berbanding RM22.1 juta pada 3Q FY2022 dan PBT sebanyak RM2.7 juta berbanding RM0.7 juta.
Pada 9M FY2023, segmen pembuatan mencatatkan hasil terkumpul sebanyak RM68.9 juta, berbanding RM64.9 juta pada 9M FY2022 dan PBT RM4.8 juta berbanding RM0.97 juta.
Bahagian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) mencatatkan hasil sebanyak RM9.2 juta pada 3Q FY2023 berbanding RM15.1 juta pada 3Q FY2022 dan PBT sebanyak RM0.009 juta berbanding LBT sebanyak RM0.66 juta.
Segmen EPCC mencatatkan hasil terkumpul RM29.4 juta pada 9M FY2023 berbanding RM36.6 juta dengan LBT terkumpul RM1.44 juta berbanding LBT sebanyak RM1.74 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, sumbangan kepada hasil pada suku tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan jualan cerucuk asas manakala peningkatan dalam PBT disebabkan terutamanya oleh margin daripada penjualan produk konkrit pratuang.
"Kami juga telah melihat peningkatan dalam tempoh sembilan bulan kerana LBT kami telah mengecil dengan ketara,” katanya dalam kenyataan di sini.
"Syarikat akan terus memanfaatkan kepakaran EPCCnya untuk secara aktif mengejar projek pembinaan bersaiz kecil hingga sederhana di seluruh Malaysia di mana ia mempunyai niche dan disokong oleh keupayaan bahagian pembuatan kami untuk membekalkan bahan binaan pratuang dan IBS bersama dengan teknologi binaan.”
Pada akhir 3Q FY2023, buku pesanan SCIB berada pada nilai kontrak terkumpul RM495.3 juta.
Dalam pengumuman berasingan, SCIB telah melantik Toh Beng Suan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif hari ini.
Sebagai seorang peguam yang berpengalaman lebih 20 tahun, beliau telah menasihati tentang pembangunan, pembinaan, pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan beberapa projek infrastruktur terbesar dan paling kompleks di Malaysia dan di rantau Asia dan Timur Tengah, serta pembinaan undang-undang dan pelbagai bentuk kontrak pembinaan dan kejuruteraan. - DagangNews.com