Scomi bakal laksana penstrukturan semula kewangan | DagangNews Skip to main content

Scomi bakal laksana penstrukturan semula kewangan

 

KUALA LUMPUR 15 April - Syarikat minyak dan gas, Scomi Group Berhad akan melaksanakan penstrukturan semula kewangan bagi mencatatkan kembali keuntungan kumpulan.

 

Ini selepas kumpulan itu membuat permohonan perintah pengurusan kehakiman di Mahkamah Tinggi hari ini seiring usaha pemulihannya, menurut Scomi dalam sebuah kenyataan.

 

Permohonan itu dibuat demi pihak berkepentingannya dengan tujuan memulihkan syarikat.

 

Buat masa ini, Scomi mencatatkan liabiliti kira-kira RM250 juta. 

 

“Langkah ini memberi peluang kepada syarikat untuk menghidupkan dan mengembalikan keuntungan.

 

“Pemulihan syarikat berkemungkinan termasuk menghidupkan kembali perniagaan sedia ada dalam bidang pengalaman syarikat, selain pengambilalihan perniagaan berkaitan untuk mewujudkan aliran tunai mampan,” jelas Scomi.

 

Pengurusan kehakiman merupakan satu langkah untuk menyelamatkan sesebuah syarikat daripada tindakan perundangan oleh pihak ketiga, semasa syarikat melaksanakan beberapa tindakan penting. 

 

Ini menyediakan satu kerangka kerja untuk memberi peluang kepada syarikat yang menghadapi masalah kewangan untuk dipulihkan. - DagangNews.com