SecureTAC dan pengesahan panggilan pelangan, ciri keselamatan baharu aplikasi CIMB | DagangNews Skip to main content

SecureTAC dan pengesahan panggilan pelangan, ciri keselamatan baharu aplikasi CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Dis - CIMB Bank Berhad and CIMB Islamic Bank Berhad terus memperkukuh keselamatan platform perbankan digitalnya dengan pelancaran langkah keselamatan baharu untuk CIMB Clicks dan CIMB OCTO Apps.

 

Ciri-ciri baharu itu termasuk kebenaran SecureTAC wajib melalui Aplikasi CIMB Clicks untuk transaksi RM100 dan ke atas serta proses pengesahan panggilan pelanggan mandatori untuk log masuk aplikasi kali pertama.

 

"Berkuat kuasa 5 Disember 2022, CIMB akan melaksanakan kebenaran SecureTAC mandatori untuk transaksi Web CIMB Clicks sebanyak RM100 ke atas termasuk pemindahan dana bukan kegemaran, pembayaran bil serta tambah nilai prabayar dan pelangggan tidak lagi boleh menerima TAC SMS untuk transaksi itu.

 

"Sebaliknya, mereka perlu menggunakan Aplikasi CIMB Clicks dan meluluskan urus niaga melalui SecureTAC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai tambahan, berkuat kuasa 26 Disember 2022, pengguna baharu atau pengguna sedia ada yang log masuk ke CIMB Clicks dan CIMB OCTO Apps pada peranti baharu akan menjalani proses pengesahan panggilan untuk memastikan ia dilakukan pemegang akaun itu sendiri.

 

Sebaik sahaja log masuk kali pertama dilakukan, pelanggan perlu menghubungi Pusat Hubungan Pengguna CIMB yang tersedia +603-6204 7788 untuk mengesahkan pendaftaran pada peranti baharu dan mengekalkan akses.

 

"Sebagai alternatif, bank juga akan berusaha untuk mencapai pelanggan untuk pengesahan dalam masa 24 jam sejak akses pertama daripada peranti baharu.

 

"Sekiranya pelanggan tidak dapat dihubungi dalam masa 24 jam selepas log masuk kali pertama atau proses pengesahan tidak dapat diselesaikan, ID CIMB Clicks mereka akan dinyahaktifkan sebagai langkah keselamatan," katanya.

 

Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan langkah keselamatan yang ketat bagi melindungi pelanggan daripada penipuan, selaras dengan arahan Bank Negara Malaysia mengenai langkah tambahan untuk mengukuhkan keselamatan perbankan.

 

"Walaupun langkah baharu ini pada mulanya mungkin menjejaskan kemudahan perbankan, kami percaya ia adalah langkah yang perlu ke arah mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat," katanya. - DagangNews.com