KUALA LUMPUR 14 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan segmen semikonduktor, dijangka menyumbang 15% daripada jualan Pentamaster Corporation Berhad bagi FY23 dan mengekalkan kadar itu sepanjang tahun ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga akan terus berinovasi dengan kemajuan cip baharu dalam usaha mengembangkan lagi pangkalan pelanggannya.
Katanya, kumpulan itu memberi petunjuk bahawa segmen elektro optik kekal lemah dan sumbangan segmen ini dijangka menurun kepada 10% hingga 12% daripada hasil kumpulan bagi FY23.
"Kumpulan itu menjangkakan jualan segmen ini pulih pada separuh kedua FY24 atas pembangunan penderia cahaya dan tekanan baharu untuk siri telefon pintar dan jam tangan pintar terbaharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen peranti perubatan, yang menyumbang 10% daripada jualan 1HFY23, disokong oleh buku pesanan 2HFY23 yang dianggarkan kukuh sebanyak RM270 juta dan ia juga akan memacu bahagian penyelesaian automatik kilang (FAS).
Katanya, penglibatan dalam pengacuan automatik dan teknologi pemasangan permukaan dalam pemantauan berterusan (CGM) untuk pelanggan multinasional terkemuka menyerlahkan kehebatan segmen automotif kumpulan.
"Pihak pengurusan menyasarkan untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dengan memperkenalkan pelbagai pilihan FAS, memenuhi prototaip yang muncul seperti sistem pemantauan jantung, mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam teknologi perubatan yang berkembang.
"Kumpulan menyemak semula kos pembinaan kilang ketiganya di Batu Kawan, Pulau Pinang kepada RM300 juta (daripada RM200 juta) bagi menyediakan ruang pengeluaran yang lebih besar iaitu 630,000 kaki persegi (berbanding 600,000 kaki persegi) untuk segmen FAS dan peranti perubatannya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM5.50 sesaham. - DagangNews.com