Segmen solar jadi penyumbang utama kepada peningkatan hasil Pekat Group - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Segmen solar jadi penyumbang utama kepada peningkatan hasil Pekat Group - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pendapatan Pekat Group Berhad pada 2QFY23 melonjak 40.8%  kepada RM59.5 dan sebahagian besarnya datang daripada segmen solar yang menyumbang sebanyak RM42.8 juta.

 

MIDF Research berkata, segmen perlindungan kilat dan pembumian (ELP) menjana RM7.9 juta manakala bahagian dagangan menjana RM8.8 juta.

 

"Hasil solar yang kukuh itu datang daripada projek solar berskala besar (LSS) kumpulan di Batang Padang, Perak," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu,untung bersih kumpulan itu melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM3.48 juta pada suku kedua berbanding RM1.07 juta disokong hasil projek LSS di Perak.

 

Bagi enam bulan pertama FY23, untung bersih kumpulan meningkat 21.18% kepada RM6.64 juta, daripada RM5.47 juta tahun lepas, apabila hasil meningkat 21.16% kepada RM106.27 juta daripada RM87.71 juta.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan kecekapan operasinya dan mengembangkan tempahannya walaupun menjangkakan keadaan pasaran yang mencabar akan berterusan.

 

Katanya, segmen ELP bersedia untuk memanfaatkan peluang tambahan kerana Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah melaksanakan piawaian keselamatan yang lebih ketat untuk sistem perlindungan kilat.

 

"Kami menganggarkan bahawa tempahan tertunggak kumpulan berada dalam lingkungan RM200 juta.

 

"Kumpulan ini memperoleh kuota CGPP 29.99MWac dan pengurusan boleh terlibat dalam kira-kira 60MW pekerjaan EPCC sementara menunggu keputusan pengurusan, yang mungkin menambah buku pesanan sebanyak RM180 juta hingga RM240 juta dengan keterlihatan pendapatan sehingga FY25," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 57 sen sesaham. - DagangNews.com