Sejauh manakah usahawan mikro bersedia laksanakan sistem pensijilan halal? | DagangNews Skip to main content

Sejauh manakah usahawan mikro bersedia laksanakan sistem pensijilan halal?

Usahawan mengisi keperluan di dalam borang pensijilan halal. - Gambar Fail UPM

 


Oleh NOOR AZWANI RAMLI

 

 

USAHAWAN Mikro turut memainkan peranan yang amat penting dalam menjana ekonomi Malaysia dan merupakan enjin pelaburan domestik yang mesti diperkukuhkan dan berdaya saing untuk pertumbuhan ekonomi negara.

 

Satu daripada faktor yang mampu meningkatkan pendapatan usahawan mikro adalah dengan memiliki pensijilan halal. Hal ini kerana, adanya pensijilan halal ia akan membantu meningkatkan pasaran dan kepercayaan pengguna terhadap sesuatu produk yang dihasilkan.

 

Malah, nilai potensi pasaran halal domestik Malaysia dijangka meningkat sehingga RM400 bilion menjelang 2030.

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh JAKIM, sehingga November 2021, hanya 7,498 syarikat yang aktif memiliki pensijilan halal JAKIM.

 

Persoalannya, adakah usahawan mikro bersedia untuk melaksanakan Sistem Pensijilan Halal Malaysia bagi meningkatkan pasaran dan menjamin kualiti produk tersebut? Apakah perkara utama dan persediaan yang perlu dilakukan oleh usahawan mikro berkenaan?

 

Langkah utama yang perlu dilakukan oleh usahawan Mikro dalam melaksanakan sistem pensijilan halal adalah usahawan itu perlu memahami syarat-syarat dan keperluan pensijilan halal yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM dan MAIN/JAIN.

 

Prosedur ini penting untuk mendapat gambaran yang jelas tentang sesuatu perkara yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan.

 

Usahawan Mikro perlu bersedia dari segi mental dan fizikal ketika sebelum, semasa dan selepas untuk ke arah pensijilan halal.


 

halal

 


Bagi memenuhi keperluan dan syarat pensijilan halal tersebut, usahawan hendaklah sanggup untuk membuat perubahan yang minimum dari segi kebersihan premis, susun atur peralatan dan mesin dalam premis makanan serta penyediaan ‘fail pensijilan halal’.

 

Usahawan perlu menitikberatkan amalan kebersihan premis ketika sebelum, semasa dan selepas mengendalikan sesuatu produk.

 

Susun atur dalam premis makanan dan sistem keluar masuk produk perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang berlaku pencemaran silang atau keracunan makanan.

 

Bagi fail pensijilan halal pula, usahawan hendaklah menyediakan semua dokumen yang diperlukan untuk pihak JAKIM dan MAIN/JAIN/pegawai audit yang akan datang untuk membuat pemantauan berkala atau sekiranya berlaku ketidakpatuhan atau ketidakakuran pada sistem tersebut.

 

Usahawan juga perlu mengekalkan ‘momentum’ setelah mendapat sijil logo halal dalam melaksanakan sistem pensijilan halal.

 

Pembudayaan amalan kebersihan dan keselamatan makanan kepada Konsep Halalan Toyyiban (bersih, selamat, suci) juga perlu dilakukan oleh setiap pekerja di premis makanan supaya dapat melancarkan pelaksanaan sistem tersebut.


 

halal

 


Selain itu, usahawan sentiasa peka kepada info tentang perubahan dari masa ke semasa daripada pihak JAKIM/MAIN/JAIN melalui pesanan ringkas (sms) atau e-mel.

 

Seterusnya, usahawan perlu memperbaharui sijil logo halal seawal 6 bulan dari tarikh luput.

 

Pembungkusan produk dan premis perlu ditambah baik dari masa ke semasa mengikut kemampuan. Usahawan perlu menjaga kualiti produk dari segi rasa, warna, formulasi dan resipi produk yang dihasilkan.

 

Usahawan juga perlu membuat analisis ke atas produk dari segi jangka hayat untuk tempoh jangka masa yang diperlukan semasa produk berada di pasaran.

 

Langkah-langkah yang perlu diambil oleh usahawan mikro adalah fokus dan sentiasa berazam untuk menjadi sebahagian daripada pengeluar produk yang mempunyai sijil halal JAKIM serta menyempurnakan tuntutan fardu kifayah dalam penyediaan makanan.

 

Usahawan juga perlu memantapkan sistem pensijilan halal dengan menggemblengkan tenaga pekerja yang berwibawa dan menyempurnakan syarat-syarat yang ditetapkan bagi melancarkan sistem pensijilan halal tersebut.

 

Adanya sijil halal, pengguna akan bertambah yakin dengan produk yang dikeluarkan kerana mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan Islam melalui garis panduan yang telah ditetapkan.


 

UPM
USAHAWAN yang mengikut Program Pembangunan Halal anjuran UCTC IPPH Universiti Putra Malaysia. - Gambar Fail UPM

 

 

Bagi meningkatkan kefahaman usahawan mikro dalam pengetahuan pensijilan halal, UPM melalui Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM ada menyediakan khidmat nasihat dan kursus bimbingan pensijilan halal yang memfokuskan usahawan mikro.

 

Selain itu, Institut Penyelidikan Produk Halal juga ada menawarkan Kursus Eksekutif Halal untuk pelajar, penjawat awam, agensi swasta dan NGO serta orang awam dengan kelayakan mempunyai sekurang-kurangnya Diploma.

 

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh e-mel kepada halalserviceslab@upm.edu.my  atau layari laman web www.uctc.upm.edu.my. – DagangNews.com

 

Noor Azwani Ramli adalah Penolong Pegawai Sains Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia