KUALA LUMPUR 2 Julai - Malaysia akan memfailkan saman ke atas Kesatuan Eropah (EU) kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) kerana bertindak menyekat pengeluaran bahan bakar bio berasaskan minyak kelapa sawit.
Polisi EU yang berhubung tenaga boleh diperbaharui itu dilihat sebagai sebuah diskriminasi.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, polisi berkenaan telah menyekat pelaksanaan perdagangan yang bebas cukai.
“Polisi yang digunapakai EU dalam Peraturan Delegasi berdasarkan Arahan Tenaga Diperbaharui Kesatuan Eropah II menyebabkan sekatan yang tidak masuk akal terhadap usaha kemampanan Malaysia,” katanya seperti dipetik Reuters.
Selain Malaysia, negara-negara Asia Tenggara lain juga akan mencabar EU melalui mekanisme penyelesaian pertikaian WTO.
Sebelum ini, Indonesia pernah mencabar polisi yang ditetapkan EU itu kepada WTO pada Disember tahun lalu. Negara jiran berkenaan melihat sekatan yang dikenakan adalah tidak adil.
Susulan itu, Malaysia akan bertindak sebagai pihak ketiga dalam kes berkenaan sebagai tanda solidariti menentang ‘kempen anti-minyak sawit’.
Walaupun penggunaan minyak sawit di Eropah semakin berkurangan, namun bahan berkenaan yang digunakan dalam bahan bakar bio kian meningkat. - DagangNews.com