Sekatan AS terhadap FGV dikhuatiri mendorong negara lain ambil langkah sama  | DagangNews Skip to main content

Sekatan AS terhadap FGV dikhuatiri mendorong negara lain ambil langkah sama 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Tindakan Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat pengimportan minyak sawit dari FGV Holdings Berhad (FGV) dikhuatiri mendorong negara atau pelanggan lain menilai semula pembelian daripada kumpulan tersebut. 

Situasi itu mungkin berlaku akibat kebimbangan terhadap amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus korporat (ESG). 

Bukan itu sahaja, CGS-CIMB Research berkata, sekatan itu juga memberi implikasi ke atas pemain industri minyak sawit lain. 

“Ini adalah berikutan Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Kastam AS dan Perlindungan Sempadan (CBP) mendedahkan bahawa pihaknya telah menerima dakwaan berhubung industri minyak sawit dan meminta pengimport AS untuk memeriksa amalan buruh oleh pembekal mereka.

“Kami berpendirian negatif terhadap situasi itu kerana ia akan menyekat kemasukan pasaran bagi jualan minyak sawit FGV melalui kilang penapisan atau usaha sama, yang terlibat dalam perniagaan penapisan dan oleokimia,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

Semalam, CBP mengeluarkan kenyataan bahawa AS menyekat import minyak sawit oleh FGV dan anak syarikat serta usaha samanya dengan segera.

Baca : Amerika Syarikat halang pengimportan minyak sawit FGV Holdings

Langkah itu diambil susulan penyiasatan ke atas dakwaan FGV menggunakan tenaga buruh paksa. 

Tambah CBP, arahan itu adalah hasil siasatan selama setahun yang mendedahkan buruh paksa, termasuk dakwaan penipuan,sekatan pergerakan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, penyalahgunaan keadaan kerja dan hidup serta lebih masa.

Pada 26 September 2020, FGV mengeluarkan kenyataan yang menafikan tuduhan berkenaan serta hari ini, syarikat itu mendedahkan telah berhubung dengan CBP menerusi penasihat undang-undang dan telah mengemukakan bukti pematuhan terhadap standard buruh.

“Kami mengekalkan saranan ‘pegang’ saham FGV dan sasaran harga RM1.21,” tambah CGS-CIMB.

Pada tahun 2019, FGV memperoleh sebanyak 5.3% jumlah hasil dari AS dan Kanada. 

Sebanyak 56% hasil diperoleh dari Malaysia, India (10%), Pakistan (7%), China (4.3%), Eropah (2.5%) dan 15% lagi dari negara-negara lain terutamanya di Asia. - DagangNews.com