Sektor penjagaan kesihatan menyaksikan peningkatan pesakit tempatan, asing - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan menyaksikan peningkatan pesakit tempatan, asing - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Sektor penjagaan kesihatan terus menyaksikan pertambahan pesakit yang memberangsangkan pada 3QFY22.

 

RHB Research berkata, selepas sekatan berkaitan COVID-19 ditarik balik, sektor itu dijangka mendapat manfaat daripada lonjakan kehadiran pesakit tempatan dan asing.

 

"Selain itu, kesan limpahan daripada perolehan ubat serta rawatan sektor awam dan swasta harus memberi manfaat kepada pemain farmaseutikal di bawah liputan kami, seperti Duopharma Biotech dan Kotra Industries," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keputusan 9MFY22 IHH Healthcare Berhad juga di bawah unjuran mereka kesan daripada nilai mata wang Lira Turki yang semakin lemah, peningkatan kos operasi (terutamanya di Turki), dan kekurangan kakitangan kejururawatan di Singapura.

 

Pendapatan bersih 9MFY22 KPJ Healthcare Berhad meningkat lebih daripada dua kali ganda tahun ke tahun berdasarkan strategi mengoptimumkan kos yang berterusan dan peningkatan kadar penghunian katil Malaysia sebanyak 66% yang meningkatkan kecekapan operasinya.

 

"Syarikat itu menjangkakan untuk mengekalkan inisiatif kos yang optimum pada suku akan datang.

 

"Kedua-dua IHH dan KPJ menyaksikan intensiti hasil yang lebih rendah hasil daripada bilangan kes pembedahan elektif yang lebih tinggi (yang mempunyai purata harga jualan yang lebih rendah), kerana banyak prosedur sedemikian telah ditangguhkan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan KPJ menjadi pilihan utama.

 

"Pilihan utama sektor kami ialah KPJ, disokong oleh trajektori pertumbuhan pesakitnya yang kukuh selain tidak terjejas oleh kekurangan kakitangan kejururawatan serta pelupusan entiti luar negara yang berpotensi meningkatkan pendapatannya menjelang 2023.

 

"Walaupun kami kekal yakin dengan prospek pemulihan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, tumpuan domestik KPJ yang lebih besar memberikan kestabilan pendapatan yang lebih besar," katanya. - DagangNews.com