Selangor peruntuk RM2.32 bilion bajet negeri 2021 | DagangNews Skip to main content

Selangor peruntuk RM2.32 bilion bajet negeri 2021

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sehingga RM2.32 bilion untuk belanjawan negeri itu pada tahun 2021. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar atas) berkata, 53% daripada bajet keseluruhan akan diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi sebanyak RM1.2 bilion. 

Perbelanjaan operasi ini termasuklah emolumen (RM439.96 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM520.43 juta), aset (RM4.8 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM203.51 juta) dan perbelanjaan-perbelanjaan lain (RM51.30 juta).

Selebihnya pula iaitu RM1.1 bilion bagi tujuan pembangunan negeri. 

Ini termasuk pembangunan infrastruktur (RM337.3 juta), ekonomi (RM279.7 juta) dan sosial (RM299.9 juta).

“Kerajaan negeri masih mengekalkan momentum kewangan yang kukuh dan terus berdaya tahan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 yang bertemakan Melakar Realiti Baharu : Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat.

Dalam pembentangan sama, Amirudin mengumumkan bahawa kerajaan negeri berjaya mengurangkan defisit kira-kira RM10 juta daripada anggaran RM133 juta pada 2020 kepada RM123 juta pada 2021.

Selain itu, Selangor juga mencatatkan hasil sehingga RM2.2 bilion dengan anggaran perbelanjaan RM2.3 bilion. 

Nilai Belanjawan Selangor 2021 hampir mencecah paras peruntukan kerajaan negeri itu pada tahun lalu sebanyak RM2.33 bilion. - DagangNews.com