SDCG jalin kerjasama dengan Serikandi perluas perkhidmatan kecekapan tenaga di Brunei | DagangNews Skip to main content

SDCG jalin kerjasama dengan Serikandi perluas perkhidmatan kecekapan tenaga di Brunei

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Solar District Cooling Group Berhad (SDCG) menerusi Solar District Cooling Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Serikandi Oil Field Services Sdn Bhd bagi meluaskan perkhidmatan solar dan kecekapan tenaga di Brunei.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama itu adalah bagi mengukuhkan dan mengembangkan peluang perniagaan dalam penyaman udara solar, system haba solar dan perkhidmatan penjimatan tenaga di negara itu.

 

Kerjasama strategik itu juga merangkumi penyediaan dan penyelenggaraan system pengurusan bangunan (BMS), penyejuk api gas dan sistem air sejuk.

 

Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong berkata, jalinan kerjasama itu merupakan peluang menarik bagi mengembangkan jejak kumpulan ke negara itu. 

 

"Kami bersama-sama Serikandi komited memperkenalkan rumusan tenaga termaju seperti penyaman udara solar, haba solar sistem, dan perkhidmatan pengurusan bangunan yang komprehensif yang boleh meningkatkan kecekapan tenaga dengan ketara untuk pelanggan di seluruh Brunei. 

 

"Kami percaya kerjasama ini akan menyediakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan berinovasi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan memacu amalan mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam meningkatkan kecekapan tenaga merentas sektor penjagaan kesihatan, hospitaliti dan perindustrian.

 

MoU itu juga memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran, serta kerjasama mengenai peluang perniagaan yang berpotensi di Brunei. 

 

Ia juga menggariskan komitmen kedua-dua syarikat dalam memacu kemampanan bagi pengurusan tenaga dan memenuhi keperluan pelanggan yang mencari rumusan yang boleh dipercayai dan cekap tenaga.

 

Sementara itu, Pengarah Serikandi, Shaikh Khalid Shaikh Ahmad berkata, perkongsian itu sejajar dengan matlamat strategiknya dalam memajukan penggunaan RE di Brunei. 

 

"Menerusi kerjasama dalam penyaman udara solar, sistem thermal dan rumusan pengurusan bangunan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menangani permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga mampan dan kecekapan operasi di rantau ini," katanya. - DagangNews.com