ECERDC realisasi pelaburan RM3.1 billion, 98 peratus datang daripada sektor pembuatan | DagangNews Skip to main content

ECERDC realisasi pelaburan RM3.1 billion, 98 peratus datang daripada sektor pembuatan

ECERDC telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di Terengganu. - Gambar Mohd Nasiruddin Mohd Nasir/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Okt - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di Terengganu, di mana 98 peratus daripadanya dalam sektor pembuatan dan bakinya dari pelancongan.

 

Ini meletakkan negeri tersebut di landasan pantas untuk mencapai sasaran pelaburan RM4.2 bilion menjelang 2024, seterusnya meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

 

ECERDC juga telah meraih RM1.7 bilion dalam pelaburan berbanding sasaran RM5.8 bilion, dengan 59 peratus daripadanya datang daripada industri minyak dan gas.

 

Sehingga Ogos 2024, ECERDC sedang berusaha untuk merealisasikan RM12 bilion lagi dalam pelaburan berpotensi, dengan RM5 bilion dibantu oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Portofolio pelaburan adalah pelbagai iaitu 77 peratus dalam pembuatan, 13 peratus dalam pelancongan dan 10 peratus dalam minyak dan gas.

 

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penting bagi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi berkaitan untuk bekerjasama bagi menarik pelaburan baharu.

 

"Inisiatif seperti Projek Pemecut Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menghubungkan kementerian, agensi dan sektor swasta dalam mencipta ekosistem ekonomi yang kukuh.

 

"Dengan infrastruktur rel sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), EAP dijangka meningkatkan ekonomi tempatan dengan meningkatkan trafik penumpang dan barang di sepanjang laluan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Terengganu.

 

Dalam mesyuarat tersebut, ahli ICC Terengganu diberikan taklimat mengenai pelbagai projek, termasuk peningkatan jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke pusat bandar Kuala Terengganu, yang akan meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih ramai pelabur ke Terengganu.

 

Pengembangan Kompleks SME Taman Biopolymer Kerteh ke Fasa 1B juga diketengahkan sebagai inisiatif utama untuk memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. - DagangNews.com