Iskandar Investment, KILSA Global bekerjasama percepatkan kemasukan PKS Korea ke pasaran Asia Tenggara  | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment, KILSA Global bekerjasama percepatkan kemasukan PKS Korea ke pasaran Asia Tenggara 

Inisiatif Tech Medini IIB komited untuk menyediakan peluang kepada syarikat pemula dan PKS Korea untuk berkembang maju, menawarkan sokongan menyeluruh dan memupuk ekosistem kerjasama untuk inovasi dan pertumbuhan di Malaysia Selatan.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Iskandar Investment Berhad (IIB) telah menandatangani perkongsian strategik dengan KILSA Global bagi mempercepatkan kemasukan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea ke pasaran Asia Tenggara. 

 

Melalui kerjasama ini, Medini dan Iskandar Puteri dirancang menjadi hab utama inovator Korea, selain menarik bakat global, pelaburan dan inovasi ke Johor, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri tersebut.

 

IIB merupakan pemangkin tranformasi yang telah membangunkan Medini sebagai hab bandar mampan dengan fokus kepada teknologi, inovasi dan perkhidmatan perniagaan.

 

Menurut IIB, perkongsian strategik itu merupakan langkah penting dalam membangunkan Medini sebagai pusat bandar mampan dengan tumpuan kepada teknologi, inovasi dan perkhidmatan perniagaan. 

 

Medini, yang terletak 45 minit dari Singapura, akan menyaksikan peningkatan ketersambungan melalui projek-projek infrastruktur seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Transit Aliran Autonomi (ART) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berpotensi.

 

Projek-projek itu akan memperkukuhkan kedudukan Medini sebagai pintu masuk strategik bagi pelabur global dan platform pelancaran perniagaan Korea di rantau Asia Tenggara. 

 

Katanya, Medini dan Iskandar Puteri yang mempunyai populasi lebih 660 serta menjana gabungan keluaran dasar negara asar (KDNK) sebanyak AS$3 trilion.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata kerjasama itu membuka peluang menarik untuk syarikat pemula dan PKS Korea mengembangkan perniagaan mereka di Asia Tenggara. 

 

"Di IIB, kami bertekad untuk menyediakan sokongan pelaburan komprehensif kepada perniagaan Korea dengan menghubungkan mereka kepada agensi utama seperti Invest Johor, MIDA, dan MDEC. Kami berharap dapat membina ekosistem inovasi yang meriah melalui kerjasama antara perniagaan Korea, pemain industri tempatan dan institusi pendidikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Medini juga telah menjadi lokasi utama bagi pelbagai inisiatif strategik seperti Tech Medini dan GBS Iskandar @ Medini, yang telah menarik penyertaan syarikat multinasional.

 

Dengan pelaburan infrastruktur berjumlah lebih AS$39 bilion, Medini kini menjadi pusat perniagaan yang berkembang pesat dengan fasiliti bertaraf dunia, menjadikannya lokasi ideal perniagaan yang ingin mengembangkan operasi di rantau ini.

 

Sementara itu, KILSA Global, yang berpusat di Singapura, merupakan platform perkhidmatan pengembangan yang pakar dalam membantu perniagaan memasuki pasaran global. 

 

Syarikat itu menawarkan perkhidmatan pengembangan setempat dan akses kepada rangkaian serantau yang luas, membantu perniagaan Korea membuka peluang baharu di Asia Tenggara.

 

Pengarah Urusan KILSA Global, Park Philip Jongseok, berkata kerjasama tersebut menyediakan syarikat Korea gerbang pintu ke salah satu pasaran paling pesat berkembang di dunia. 

 

"Dengan lebih 30,000 PKS Korea sedang mencari peluang pengembangan ke luar negara, Asia Tenggara menawarkan potensi yang besar, kerjasama ini menghubungkan syarikat pemula dan PKS Korea dengan peluang-peluang yang ditawarkan di Medini dan Iskandar Puteri," ujarnya. - DagangNews.com