KUALA LUMPUR 4 Okt - AirAsia X (AAX) memperkenalkan tambang istimewa dari Kuala Lumpur ke Nairobi bermula RM799 bagi tempat duduk Ekonomi atau daripada RM1,999 sehala untuk tempat duduk Premium Flatbed**.
Tempahan kini tersedia sehingga 6 Oktober 2024, untuk tempoh perjalanan dari 15 November 2024 hingga 30 Jun 2025.
Tawaran istimewa itu adalah bersempena termeterainya kerjasama strategik AAX dengan Lembaga Pelancongan Kenya, bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara benua Asia dan Afrika dan memacu pertumbuhan pelancongan bagi kedua-dua buah negara.
Kerjasama ini bertepatan dengan pelancaran penerbangan terus baharu AAX yang akan datang untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Nairobi bermula pada 15 November 2024 dengan empat penerbangan mingguan.
Kerjasama antara AAX dan Lembaga Pelancongan Kenya ini termasuk aktiviti promosi bersama, kempen pemasaran yang diselaraskan dan usaha kolaboratif untuk meningkatkan pengalaman perjalanan. Ia juga bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi untuk menarik lebih ramai pelancong dan merangsang pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan Kenya.
Wilayah Komuniti Afrika Timur (EAC) telah menetapkan matlamat untuk menarik lebih 14 juta pelancong antarabangsa pada setiap tahun menjelang 2025, di mana Nairobi diletakkan sebagai hab utama dalam strategi pelancongannya.
Penerbangan terus baharu akan datang dijangka bakal meningkatkan profil Nairobi sebagai pintu masuk kepada perjalanan serantau dan antarabangsa, seterusnya memacu ekonomi dan mempromosikan pertukaran budaya.
Pengenalan penerbangan terus ini juga akan memainkan peranan penting dengan menawarkan akses Fly-Thru yang mudah kepada pelancong dari Kenya untuk melawat ke destinasi terkemuka Asia melalui Kuala Lumpur.
Selain itu, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang, laluan baharu ini akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang menawarkan pengalaman yang pelbagai. Kuala Lumpur akan menjadi pintu masuk utama untuk pelancong dari Nairobi, menawarkan mereka akses terus ke pelbagai tarikan menarik di Malaysia, termasuk mercu tanda budaya, landskap yang indah dan kulinari yang pelbagai.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, laluan baharu ke Nairobi adalah langkah penting dalam misi AAX menghubungkan Asia dengan Afrika dan memudahkan perjalanan antara dua buah benua ini.
"Kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Kenya membuktikan komitmen kami untuk meluaskan peluang perjalanan dan meningkatkan sektor pelancongan. Laluan baharu ini juga akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelancongan Kenya dan mewujudkan rangkaian baharu kepada pengembara.
"Bagi pasaran utama kami yang lain seperti Australia dan China, Nairobi kini boleh diakses dengan mudah, menawarkan pengembaraan baharu di Afrika dan pilihan perjalanan yang dipertingkatkan melalui Kuala Lumpur. Laluan ini bukan sahaja akan memperkukuh rangkaian global kami malah menyokong matlamat pelancongan kedua-dua buah negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Kenya, June Chepkemei berkata kerjasama ini akan memacu pertumbuhan yang ketara dalam bilangan pelancongan ke Kenya.
Menurutnya, kesalinghubungan yang dipertingkatkan ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan tempatan, mempamerkan Kenya sebagai destinasi utama untuk pengembara global, terutamanya dari Asia.
"Dengan memudahkan akses yang lebih mudah ke Nairobi, kami menjangkakan peningkatan hasil pelancongan dan pertukaran budaya yang lebih kukuh, seterusnya memanfaatkan kedua-dua sektor pelancongan Kenya dan ekonominya yang lebih luas.
“Rantau Asia Pasifik ialah pasaran sumber utama bagi Kenya. Rantau ini membawa lebih 320,000 pelancong ke negara ini pada tahun 2023 di mana India, China dan Jepun menjadi antara pelawat utama. Matlamat kami melalui kerjasama ini adalah untuk memastikan kami mempunyai lebih ramai pelancong dari Malaysia dan destinasi serantau lain ke Kenya,” kata beliau. - DagangNews.com