Selepas AS, Grab mahu disenaraikan di Singapura | DagangNews Skip to main content

Selepas AS, Grab mahu disenaraikan di Singapura

 

 

SINGAPURA 16 April - Syarikat gergasi e-hailing di Asia Tenggara, Grab Holding dilaporkan sedang mempertimbangkan penyenaraian sekunder di negara 'kelahirannya' selepas melengkapkan penyenaraian di Nasdaq menerusi penggabungan terbesar dengan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) bernilai AS$40 bilion. 

 

Menurut Reuters yang memetik 3 sumber yang rapat kepada perkara berkenaan berkata, penyenaraian di Singapore Exchange (SGX) membolehkan Grab memperoleh pelabur yang dekat dengan perniagaan serantaunya. 

 

"Ini berpotensi menawarkan kepada pelanggannya, pemandu dan rakan dagangnya akses yang mudah untuk meniagakan sahamnya," jelas laporan itu seperti dipetik di TheEdge.

 

Grab yang bermula sebagai perniagaan penumpang pada 2012 kini beroperasi di 8 negara dan lebih 400 bandar serta telah berkembang kepada perniagaan penghantaran makanan dan barangan runcit termasuk pembayaran digital. Tahun lalu, ia memperoleh lesen perbankan digital di Singapura. 

 

Bagaimanapun, sumber itu berkata, masih tidak jelas sasaran Grab dalam penyenaraian sekundernya ini, memandangkan terma kewangan dan jadual masih dalam peringkat awal pertimbangan. 

 

Namun, menurut Reuters, Grab mahupun SGX enggan memberi komen lanjut berhubung perkara ini. 

 

Salah seorang sumber pula berkata, ketika Grab mempunyai rizab tunai yang mencukupi dan mungkin mengumpul jumlah yang kecil di SGX, tetapi penyenaraian itu satu 'kemenangan besar' buat pasaran tempatan itu. 

 

Ini kerana SGX telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan pasaran sahamnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan di bawah ketua pegawai eksekutifnya, Loh Boon Chye, yang dilantik sejak 6 tahun lalu, SGX telah mengambil alih syarikat bagi mengubah agensi itu menjadi pasaran pelbagai aset. 

 

Ketika ini, terdapat 28 syarikat dengan penyenaraian sekunder di SGX termasuk syarikat Malaysia, IHH Healthcare Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd.

 

Bagi Grab pula, sebagai sebahagian daripada penggabungan SPAC, ia berjaya mengumpul dana berjumlah AS$4 bilion daripada pelabur global seperti BlackRock, Temasek Holdings, Fidelity International, Permodalan Nasional Berhad dan beberapa kumpulan keluarga yang kaya di Indonesia. - DagangNews.com