Semak turun penarafan S&P terhadap Serba Dinamik hanya sementara - CEO | DagangNews Skip to main content

Semak turun penarafan S&P terhadap Serba Dinamik hanya sementara - CEO

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Semak turun penarafan oleh firma antarabangsa, S&P Global Ratings ke atas Serba Dinamik Holdings Berhad hanya bersifat sementara.

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu juga sudah menjangkakan semak turun tersebut ekoran situasi semasa serta ia telah dicerminkan menerusi nilai sahamnya, menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah.

 

“Serba Dinamik positif dalam memastikan kedua-dua audit dan tinjauan bebas khas (SIR) akan dilengkapkan tepat pada masanya. 

 

“Apabila ini selesai, kami dapat memulakan kembali proses pembiayaan semula dan menangani kematangan pinjaman kami,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Sebelum itu, S&P menyemak turun penarafan ke atas Serba Dinamik daripada ‘B-’ kepada ‘CCC’ setelah mengambil kira tempoh matang hutang syarikat, berjumlah kira-kira RM1.7 bilion untuk sembilan bulan akan datang.

 

Firma penarafan antarabangsa itu melihat cabaran yang dihadapi oleh Serba Dinamik berhubung audit berkanun dan SIR akan menjadi penghalang kepada syarikat untuk mendapatkan sumber pembiayaan luaran. 

 

Jelas S&P lagi, kemampuan Serba Dinamik untuk mendapatkan sumber modal luaran itu bergantung kepada resolusi SIR, penyelesaian audit berkanun yang tepat pada masanya, dan pemulihan kepercayaan pasaran terhadap syarikat.

 

Walaupun Serba Dinamik tidak menyemak semula unjuran pemfailan fiskalnya bagi tahun 2020, S&P berkata, sebarang penangguhan selanjutnya akan menyebabkan syarikat mengalami tekanan untuk memenuhi tarikh akhir yang telah dinyatakan.

 

Untuk rekod, Serba Dinamik baru-baru ini juga berjaya memenangi 15 kontrak baharu yang bernilai sekitar RM386.3 juta, melibatkan projek operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). 

 

Pagi ini, Serba Dinamik memulakan dagangan di kaunter paling rancak diniagakan dengan harga saham syarikat menyusut 0.05 sen kepada 41 sen setakat 9.22 pagi. - DagangNews.com