Sentimen darurat tetap 'hantui' pelabur asing | DagangNews Skip to main content

Sentimen darurat tetap 'hantui' pelabur asing


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Tiada pelaksanaan darurat di Malaysia tidak mampu menyekat penjualan mendadak ekuiti tempatan oleh pelabur asing. 

Pasaran saham Malaysia mampu menarik nafas lega setelah Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan itu, tetapi tidak mampu mengurangkan kebimbangan pelabur asing disebabkan ketidakstabilan politik negara. 

“Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat memberi kelegaan besar buat pasaran saham memandangkan langkah itu mampu melunturkan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur terhadap negara ini.

“Ini mungkin mendorong kepada prospek pertumbuhan syarikat dan negara yang lebih rendah. 

“Keputusan itu berkemungkinan menyekat potensi penjualan besar-besaran dalam pasaran dicetuskan oleh kebimbangan terhadap impak negatif langkah darurat ke atas ekonomi dan perolehan syarikat,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini. 

Pada Jumaat lalu, mesyuarat khas Jemaah Menteri mencapai kata sepakat berhubung cadangan pelaksanaan darurat  di bawah Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020).

Cadangan itu dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum dibawa ke peringkat rundingan dengan Raja-Raja Melayu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan tersebut susulan kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di Malaysia atau mana-mana bahagian negara ketika ini.

Dalam masa sama, baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala 'politiking' yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

CGS-CIMB menjangkakan nasihat baginda terhadap Ahli-ahli Parlimen itu dapat menghentikan konflik politik negara dalam tempoh terdekat ini.

“Peringatan baginda terhadap kepentingan Bajet 2021 yang bakal dibentangkan di Parlimen nanti, dapat mengurangkan kemungkinan Bajet itu ditolak disebabkan sokongan yang tidak mencukupi,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com