BAGAN DATUK 18 Okt - "Sepatutnya saya pecat semua sekali, tapi saya taklah seperti itu, saya orangnya baik, lemah lembut, bukan lembut".
Penegasan itu antara intipati ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Solidariti Kestabilan & Kemakmuran Negeri Perak di sini malam tadi, ketika mengulas mengenai proses pembubaran Dewan Rakyat sebelum beliau mengumumkannya pada 19 Oktober lalu.
Perdana Menteri dipercayai merujuk tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen, menurut Berita Harian.
Naib Presiden UMNO itu menyifatkan perkara mengenai pembubaran Dewan Rakyat sepatutnya tidak dipersolkan, terutama oleh anggota Jemaah Menteri kerana ia dibuat mengikut proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
Di hadapan ribuan jentera Barisan Nasional (BN) yang hadir pada majlis di Kompleks UMNO Bagan Datuk itu, Ismail Sabri mendedahkan, beliau memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, akan membubar Kabinet jika tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen.
Katanya, beliau memberi bayangan demikian dalam mesyuarat Kabinet terakhir, iaitu sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober.
"Saya bawa dalam (mesyuarat) Kabinet supaya Kabinet tahu niat saya (untuk) membubarkan Parlimen. Memanglah ada pelbagai pandangan, tetapi akhirnya saya membuat keputusan. Saya beritahu dia orang kalau 'you all' tak setuju, saya bubarkan saja Kabinet ini.
"Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut," katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri PN mengutus warkah kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membantah pembubaran Parlimen, dilihat mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.
Katanya lagi, tindakan kumpulan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.
"Sememangnya Agong ada kuasa membubar atau menangguhkan (pembubaran Parlimen), tetapi peruntukan Perlembagaan turut menyebut bahawa ia perlu dibaca dengan Perkara 40(2) sebab kuasa pembubaran bukan kuasa Agong bersendirian.
"Ia mesti dibaca dengan Perkara 40(2), iaitu harus ada permintaan daripada Perdana Menteri, maka barulah Agong berkuasa, sama ada memberi perkenan atau sebaliknya yang mana itulah kuasa terakhir bagi memutuskannya," katanya.
Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang mempertikaikan keputusan pembubaran Parlimen hingga ada yang sanggup memfailkan saman di mahkamah, merujuk tindakan penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago.
"Sepatutnya pembangkang seronok (apabila Parlimen bubar) sebab pembangkang kata kerajaan hari ini tak berapa sah, kerajaan hari ini 'kerajaan tebuk atap', kerajaan hari ini 'tebuk dinding', kerajaan hari ini kerajaan 'tebuk pintu belakang'.
"Pelbagai tuduhan dibuat mereka mengenai keabsahan kerajaan yang ada pada hari ini. Kalau macam tu, elok kita bubarkan. Ini saman kita pula," katanya. - DagangNews.com