Setelah Mirzan Mahathir disingkir, SBI Offshore terus bergolak | DagangNews Skip to main content

Setelah Mirzan Mahathir disingkir, SBI Offshore terus bergolak

SINGAPURA 7 Julai – SBI Offshore Ltd, syarikat minyak dan gas Singapura yang hampir 11% kepentingannya dimiliki oleh Mirzan Mahathir, terus menarik perhatian ramai dengan pergolakan terbaru di dalam lembaga pengarah syarikat.

Untuk kali kedua, bekas pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat, Jonathan Hui Choon Ho meminta diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), dalam usaha usaha kembali menguasai lembaga pengarah SBI Offshore.

JonathanSBIoffshore
Jonathan Hui

Menurut The Edge Singapore, di dalam surat bertarikh 6 Julai, Hui yang masih memegang 7.92% ekuiti syarikat, telah bergandingan dengan seorang lagi pemegang saham Paul Goh Ju Poh yang mendakwa memiliki 2.82% kepentingan, mahu menyingkirkan pengarah sedia ada SBI dan melantik nomini mereka sendiri.

Di bawah undang-undang syarikat Singapura, pemegang saham yang memiliki lebih 10% kepentingan boleh meminta diadakan EGM.

Goh dan Hui mahu mengeluarkan Ahmad Subri Bin Abdullah daripada lembaga pengarah, dengan alasan pengarah bebas yang tinggal di Kuala Lumpur tidak boleh memberi khidmat berkesan kerana perniagaan SBI Offshore lebih berasaskan Singapura. Ahmad Subri dilantik pada 10 Disember 2018.

Sebagai ganti, mereka mencalonkan Percival Jeyapal s/o David, yang memiliki 50 tahun pengalaman di dalam perkhidmatan minyak dan luar pesisir untuk menduduki kerusi lembaga pengarah.

Hui melepaskan jawatannya di dalam SBI Offshore pada akhir 2017 susulan penyiasatan firma undang-undang UniLegal mendapati wujud dua bentuk perjanjian bertentangan berkaitan pengambilalihan dan pelupusan seterusnya 35% kepemtingan di dalam entiti bernama Jiangyin Neptune Marine Appliance.

Pada Januari 2018, Hui dan dua lagi pemegang saham cuba meminta diadakan EGM supaya tiga pengarah syarikat disingkirkan dan Percival, seorang lagi nomini dan Hui sendiri dilantik ke lembaga pengarah.

Berikutan `komunikasi susulan’ dengan SGX RegCo, lembaga pengarah SBI Offshore ketika itu diterajui pengerusi eksekutif Mirzan Mahathir, menolak permintaan itu dengan alasan, antaranya, pembabitan Hui dengan urus niaga Jiangyin Neptune Marine Appliance.

Dan juga, walaupun mengiktiraf pengalaman Percival sebagai jurutera, lembaga pengarah SBI Offshore berpendapat beliau tidak berpengalaman sebagai pengarah mana-mana syarikat tersenarai.

Langkah terbaharu Hui ini tidak sampai seminggu Mirzan diundi keluar oleh pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan syarikat pada 29 Jun lalu.

Mirzan kemudiannya dilantik sebagai CEO interim supaya dapat membantu proses urus niaga pengambilialihan terbalik (RTO) yang sedang berjalan.

Menurut laporan syarikat kepada bursa saham Singapura, sebanyak 70.05% undi sah menentang pelantikan semula beliau, berbanding menyokong hanya 29.95%.

Mirzan menjadi pemegang saham utama SBI Offshore pada September 2014 selepas mengambil alih 10.8% kepentingan syarikat menerusi penempatan khas pada harga 26.05 sen sesaham.

Pada AGM yang sama, seorang lagi pengarah James Kho Chung Wah, turut tidak diundi semula.

Ahmad Subri, yang dijadikan sasaran oleh Hui dan Goh di dalam notis EGM terbarunya, tidak tersenarai untuk proses pemilihan semula pada AGM tersebut.

SBI Offshore pada 12 Jun lalu, disiasat oleh SGX RegCo atas kemungkinan pelanggaran peraturan penyenaraian selain kesalahan tugas fidusiari pengarah, ekoran penerbitan laporan audit khas yang dibuat oleh RSM Corporate Advisory.

Audit khas itu diperintahkan oleh SGX RegCo pada Disember 2018, untuk menyiasat penjualan kilang di China oleh SBI Offshore pada harga hanya RMB18 juta, yang dianggap terlalu rendah berbanding nilainya antara RMB38 dan 40 juta.

Laporan audit khas oleh RSM pada 12 Jun lalu, merumuskan bahawa SIB Offshore memang ada melaksanakan proses “memadai dan munasabah’ untuk cuba dan menjual kilang itu. Harga transaksi RMB18 juta merupakan tawaran terbaik yang mereka terima semasa tempoh tersebut.

Namun, berdasarkan audit khas RSM, beberapa isu lain berkaitan kilang yang sama, telah dibangkitkan. Satu daripadanya ialah semasa pembelian kilang oleh SBI Offshore, perjanjian pembelian tidak mengandungi butiran aset mencukupi dan tiada penilaian dilakukan sebelum pembelian kilang pada harga RMB32 juta. – DagangNews.com