SHMMP sekat kenaikan harga barang menjelang Tahun Baru Cina | DagangNews Skip to main content

SHMMP sekat kenaikan harga barang menjelang Tahun Baru Cina

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina (SHMMP) 2021 bakal dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan tersebut.

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim tersebut juga secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

"Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan.

 

"Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP TAHUN BARU CINA adalah selama sembilan hari iaitu selama empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan (8 hingga 16 Februari 2021)," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

SHMMP akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

 

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 16 jenis barangan bagi tujuan pelaksanaan skim tersebut.

 

 

Berikut adalah senarai barangan dan harga bagi SHMMP Tahun Baru Cina 2021;

 

.

 

 

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut dan kesalahan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

 

 

Peniaga boleh dikenakan penalti seperti berikut;

 

1) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum

 

  • Individu - Boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 
  • Syarikat -  Boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000

 

2) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal

  • Individu - Boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000
  • Syarikat - Boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000

 

 

"Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan  menggunakan hak mereka. 

 

"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," jelas beliau lagi. - DagangNews.com