Siapa bakal ganti Tengku Zafrul dan KJ jadi tumpuan pasaran - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Siapa bakal ganti Tengku Zafrul dan KJ jadi tumpuan pasaran - Maybank IB

Tengku Zafrul dan Khairy Jamaluddin
Tengku Zafrul dan Khairy Jamaluddin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pasaran Malaysia diheret turun sementara menunggu pengumuman rasmi pembentukan kabinat kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Maybank IB Research berkata, pasaran dilihat lebih tertumpu kepada individu yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Penyelaras vaksin.

 

"Susunan kabinetnya perlu menyeimbangkan pelbagai kepentingan.

 

"Pasaran terutamanya lebih tertumpu kepada siapa yang akan memegang jawatan Menteri Kewangan yang (sebelumnya digalas oleh Tengku Zafrul) dan Menteri Penyelaras Vaksin (sebelumnya digalas Khairy Jamaluddin).

 

"Tengku Zafrul dan Khairy Jamaluddin kedua-duanya dilihat sangat berkebolehan, bertenaga dan berpendirian positif dalam situasi kabinet semasa," jelas Maybank IB Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, Maybank IB Research mengekalkan kedudukan pasaran yang seimbang melalui gabungan nilai dan pertumbuhan saham.

 

Sementara itu, pelabur yang ingin mengelak daripada masalah ekonomi dan dasar domestik perlu tertarik kepada sektor yang berorentasikan eksport seperti teknologi, petrokimia dan logistik.

 

Ismail Sabri berjaya meraih sokongan daripada daripada 114 Ahli Parlimen yang merupakan margin majoriti Parlimen mengikut jumlah kerusi oleh setiap parti.

 

Sokongan itu terdiri daripada UMNO (37), Bersatu (31), Parti Islam PAS (18), GPS-Sarawak (18) dan 10 Ahli Parlimen lagi daripada pelbagai parti/bebas.

 

Bagi rekod, Ismail Sabri diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sokongan 114 Ahli Parlimen.

 

Beliau merupakan Perdana Menteri ke-4 Malaysia sejak 2018.

 

Kemenangan beliau menyaksikan parti UMNO kembali berkuasa setelah gagal dalam Pilihan Raya Umum (PRU 14) lalu. - DagangNews.com