SIC, Petronas meterai perjanjian tiga tahun, trek kini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Petronas Sepang | DagangNews Skip to main content

SIC, Petronas meterai perjanjian tiga tahun, trek kini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Petronas Sepang

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dikenali sebagai Litar Antarabangsa Petronas Sepang.-Gambar/Bernama

KUALA LUMPUR 31 Okt - Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas mengumumkan perjanjian baharu yang menyaksikan litar ikonik itu dinamakan semula secara rasmi sebagai Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

 

Pengurus Besar Kanan Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz percaya perkongsian hak penamaan selama tiga tahun itu akan memberi manfaat kepada industri sukan permotoran Malaysia.

 

SIC dan Petronas bagaimanapun tidak mendedahkan nilai perjanjian itu.

 

"Petronas berbesar hati untuk memulakan kerjasama ini, pelaburan yang mewakili kemuncak hubungan kami yang telah lama terjalin.

 

“Kami komited untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri sukan dan hiburan di Malaysia dan seterusnya.

 

"Perkongsian ini melangkaui hanya hak menamakan tetapi ia menandakan dedikasi kami bagi mempromosikan acara bertaraf dunia, memupuk pembangunan bakat dan mempamerkan keupayaan Malaysia di pentas global," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SIC, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif juga senada dengan Anita mengenai perkongsian itu.

 

"Sebagai antara peneraju industri sukan permotoran melalui penglibatannya (Petronas) dalam Formula Satu dan MotoGP, ia akan membuka pintu kepada peluang baharu bagi penganjuran lebih banyak acara di venue bertaraf dunia kami," katanya.

 

Pengumuman itu tepat pada masanya kerana litar itu akan menganjurkan Grand Prix Petronas Malaysia (MotoGP) dari 10 hingga 12 November 2023.- DagangNews.com