IPOH - Kedatangan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ke Bagan Datuk pada Isnin lalu merupakan petunjuk jelas bahawa tiada perpecahan dalam parti tersebut.
Ia juga menunjukkan solidariti dan sokongan kuat parti terhadap beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ismail Sabri hadir pada Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk.
Ketua Penerangan Veteran UMNO Perak, Dato’ Sani Supi berkata, kedatangan Ismail Sabri juga membuktikan tiada pergeseran antara beliau dan Ahmad Zahid, malah hubungan kedua-duanya sangat baik.
Ini kerana jelas beliau, isu hubungan kedua-dua pemimpin itu sengaja ditimbulkan oleh pihak lain untuk memecahkan-belahkan kekuatan UMNO.
"Sebenarnya tiada pergeseran antara Ismail Sabri dengan Ahmad Zahid yang sengaja digembar-gemburkan.
"Malah ribuan rakyat dapat lihat sendiri semasa di Bagan Datuk bagaimana hubungan kedua-dua pemimpin tersebut.
"Ini isu yang sengaja dimainkan. Memanglah matlamat pihak luar nak pecah-belahkan kekuatan UMNO. Jadi UMNO perlu tunjukkan tiada berlaku perpecahan," ujarnya ketika dihubungi DagangNews.com.
Justeru, Sani mahu rakyat menilai sendiri spekulasi yang sengaja ditimbulkan itu serta solidariti yang ditonjolkan UMNO.
Katanya, kekuatan luar biasa itu sebenarnya menimbulkan ketakutan pada pihak lawan yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan sokongan rakyat.
Dalam pada itu, Sani memberitahu bahawa pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kekal sepertimana diumumkan parti sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, tidak timbul dakwaan ada pemimpin lain akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.
"Sebenarnya secara prinsip bahawa UMNO telah mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, itu tidak boleh dipertikai lagi.
“Namun, kita kena jelas bahawa kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Maka, terpulanglah kepada Baginda untuk memberi perkenan," ujarnya. - DagangNews.com