Sistem perolehan aset pertahanan negara sememangnya perlu dirombak elak ketirisan mega | DagangNews Skip to main content

Sistem perolehan aset pertahanan negara sememangnya perlu dirombak elak ketirisan mega

Kelewatan projek LCS memberi gambaran negatif dalam perolehan aset pertahanan negara.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

EMPAT tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 mendedahkan ketirisan dalam program perolehan beberapa kelengkapan pertahanan negara yang mana ia tidak wajar dipandang ringan.

 

Antaranya pembelian sembilan buah kenderaan armor bagi misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengikut spesifikasi. 

 

Perkara tersebut sepatutnya perlu dipatuhi sepertimana terkandung pada Manual Panduan Batalion Infantri PBB (UNIBAM).

 

Sebagai agensi yang bertanggungjawab menyelia kewangan negara, Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan secara profesional berlandaskan standard antarabangsa.

 

Laporan Audit Negara ini merangkumi penilaian terhadap tujuan perolehan tersebut sama ada mencapai objektif atau tidak.

 

Kenderaan APC Guardian
Pembelian kenderaan APC Guardian menjadi isu apabila tidak mengikut spesifikasi ditetapkan PBB untuk operasi di Lebanon.

 

Pada 14 Oktober 2020, bekas setiausaha politik Menteri Pertahanan didakwa atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat. 

 

Rasuah sebagai upah kerana membantu syarikat itu dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan MINDEF. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perolehan bekalan senjata ATM ditentukan pakar guna pendekatan G2G elak ketirisan - PM Anwar

 

Kes ini merupakan salah satu contoh campur tangan individu berpengaruh dalam proses perolehan kerajaan.

 

Kelemahan dalam perolehan aset pertahanan negara juga bukanlah isu baharu, malah sering menjadi topik hangat di Dewan Rakyat setiap kali Menteri Pertahanan baharu dilantik.

 

Bagaimana pun, perbahasan semata-mata di dalam Dewan tidak membuahkan apa-apa melainkan satu langkah bersungguh-sungguh daripada peringkat atas hingga bawah.

 

Yavuz
Walaupun tender terhad mendapatkan sistem SPH Yavuz dibatalkan tetapi kerajaan membuka semula tender untuk membekalkan meriam kategori sama secara terbuka.

 

Justeru, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perolehan bekalan senjata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditentukan oleh pakar berkaitan sebagai usaha untuk mengelak daripada sebarang ketirisan merupakan signal pada ketegasan tersebut.

 

Tegas Perdana Menteri lagi, kebanyakan urusan bagi perolehan aset akan dibuat menerusi pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) melibatkan negara masing-masing.

 

Beliau ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat turut menjelaskan, anjakan utama kerajaan adalah untuk mensyaratkan agar ketirisan dalam tatacara perolehan aset segera ditangani bagi menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara.

 

Ketegasan sama pernah dibuat Perdana Menteri pada Mac lalu yang mahu perolehan aset ketenteraan perlu diputuskan sendiri oleh pihak ketenteraan yang terbabit, tanpa memerlukan sebarang campur tangan ahli politik.

 

Perdana Menteri berkata, kaedah perolehan aset ketenteraan harus berubah susulan masalah perolehan yang berlaku sebelum ini, yang boleh menjejaskan keupayaan kesiapsiagaan negara.

 

Bajet
Perbelanjaan pertahanan negara masih lagi kecil berdasarkan peruntukan tahunan yang diterima MINDEF berbanding kementerian lain.

 

Pada Bajet 2023, MINDEF menerima peruntukan sebanyak RM17.4 bilion yang mana daripada jumlah itu, RM4 bilion untuk melaksanakan pembelian dan penyelenggaraan aset.

 

Peruntukan yang diterima pada tahun sebelumnya pula sebanyak RM17 bilion dengan RM1.6 bilion diperuntuk bagi mempertingkat kesiagaan aset utama ATM.

 

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM16 bilion kepada MINDEF dengan peruntukan penyelenggaraan aset-aset utama ATM pula dinaikkan kepada RM2.3 bilion berbanding RM2 bilion sebelum ini.

 

Dengan anggaran MINDEF memperuntukkan kira-kira RM2 hingga RM4 bilion untuk perolehanan aset-aset baharu setiap tahun, jumlah ini sebenarnya tidak seberapa berbanding kementerian lain.

 

Sebagai perbandingan, Kementerian Pendidikan sepanjang tempoh sama menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan negara iaitu sebanyak RM55.6 bilion bagi tahun 2023, RM52.6 bilion (2022) dan RM50.4 bilion (2021).

 

Gagal
Kerajaan akhirnya memutuskan projek LCS diteruskan untuk mengelak kerencatan dalam perolehan aset baharu TLDM.

 

Cuma, sebarang isu berkaitan ketirisan dalam perbelanjaan MINDEF lebih menarik minat umum apabila ia dikaitkan dengan soal keselamatan dan pertahanan negara.

 

Ini kerana kemampuan sesebuah angkatan tentera saling berkait rapat dengan aset atau rancangan perolehan yang dibangunkan.

 

Kegagalan merancang, melaksana dan menjayakan perkara tersebut dibimbangi akan mengundang implikasi lain untuk mempertahankan negara.

 

Selain campur tangan luar, perkara lain yang perlu dilihat ialah aspek pengurusan dan proses perolehan itu dibuat.

 

Isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) misalnya membabitkan ketirisan dana, pengurusan program yang lemah, ketiadaan integriti dan kemungkinan membabitkan aspek jenayah, bukan berkaitan sistem pada kapal.

 

Japan

 

Hai
Ketirisan dalam perolehan aset pertahanan masih boleh berlaku jika tiada integriti dalam pelaksanaan termasuk kecuaian, penyelewengan dan salah guna kedudukan.

 

Walaupun kontrak pembinaan kapal diberikan secara rundingan terus, tetapi ia diputuskan kerajaan pada masa itu dengan matlamat nasional untuk memajukan limbungan perkapalan tempatan dalam bidang pertahanan maritim.

 

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi setakat siasatan itu dijalankan dua tahun lalu, hanya 44 peratus siap.

 

Menurut jadual asal sepatutnya lima kapal harus disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

 

Sama ada kontrak dianugerahkan seara rundingan terus, tender terhad, tender terbuka antarabangsa atau rundingan secara kerajaan dengan kerajaan, ruang untuk berlaku ketirisan terbuka jika tiada integriti dalam pelaksanaan.

 

Ini kerana salah urus perolehan, kecuaian pegawai, kesilapan dalam pembekalan, rasuah, penyelewengan dan salah guna kedudukan boleh berlaku yang menyebabkan ketirisan. - DagangNews.com