KUALA LUMPUR 20 Julai - Seramai 200 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) terlibat dalam program perkongsian ilmu dan inovasi dengan komuniti Gombak dengan inovasi Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) pada 16 Julai lalu.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata program ‘Semarak Siswa Madani @ Gombak’ anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tersebut membawa inovasi dan idea baharu dari universiti melalui aktiviti demontrasi inovasi serta bicara ikon terpilih untuk menjalin hubungan antara mahasiswa dan komuniti.
“UPM berkongsi teknologi yang diberi nama Pertanian Tanpa Cangkul hasil inovasi dan pengembangan projek oleh komuniti, pelajar dan pensyarah UPM.
"Seramai 300 komuniti warga komuniti Gombak terlibat dalam program ini di Dewan Rakyat Batu Caves Selangor,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata program Semarak Siswa Madani @ Gombak yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari itu membuka peluang kepada pelajar universiti bagi mengembangkan kemahiran, bakat serta melatih untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam menangani masalah komuniti setempat.
Sementara itu, pengembang teknologi PTC, Ahmad Shukry Yahya yang merupakan pelajar program sarjana UPM berkata, PTC menggunakan tong plastik biru berukuran 160 liter untuk menanam plot tanaman pelbagai yang menjimatkan ruang tanah terutama untuk masyarakat bandar.
“PTC merupakan peralatan pertanian bandar yang tahan lima tahun sebagai penyelesaian kepada jaminan keselamatan makanan dengan melibatkan komuniti bandar sebagai petani.
"Untuk sekali tuaian, satu tong PTC boleh menghasilkan purata 4 kilo sayur-sayuran,” kata beliau.
Shukry berkata PTC merupakan satu daripada projek Duta Mahasiswa Johor yang disertai oleh Persatuan Kebajikan Mahasiswa Johor UPM yang memenangi Anugerah Projek Inovasi Terbaik Johor dan Anugerah Program Terbaik Negeri Johor di bawah Anugerah Ikon Siswa Johor 2022. - DagangNews.com