Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Mac. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan pelawaan untuk kerja-kerja pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit di 839 lokasi seluruh negara.
SKMM berkata, lokasi yang ditawarkan itu melibatkan negeri Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.
"Lokasi-lokasi berkenaan terdiri daripada kawasan penempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, dan kawasan-kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak yang mana penyediaan prasarana dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan selular awam akan mengambil masa untuk dilaksanakan dengan mengambil kira kepadatan penduduk dan keadaan bentuk muka bumi.
"Semenanjung Malaysia mempunyai sebanyak 178 lokasi (21%), manakala Sabah mempunyai sebanyak 138 lokasi (17%) dan Sarawak pula sebanyak 523 lokasi (62%)," kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah SKMM, perkhidmatan tersebut yang akan dilaksanakan menjelang Oktober 2021 akan berfungsi sebagai penyelesaian pantas kepada masalah kesalinghubungan.
Hasilnya, para penduduk di setiap lokasi akan berpeluang menikmati perkhidmatan WiFi percuma pada purata kelajuan 35Mbps.
SKMM memberitahu, usaha tersebut merupakan satu lagi inisiatif di bawah Jendela untuk meluaskan liputan ke seluruh negara dan melengkapi pengumuman terdahulu.
"Semua pemegang lesen yang berminat dan berkelayakan, boleh mendaftarkan minat dan mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat seperti mana di bawah Peraturan 5, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002," jelas SKMM lagi. - DagangNews.com