SKMM hanya jalankan tanggungjawab selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 | DagangNews Skip to main content

SKMM hanya jalankan tanggungjawab selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa mereka komited dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

 

Katanya, ia selaras dengan fungsi mereka bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat.

 

Antara tanggungjawab utama SKMM adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undangundang bertulis Malaysia termasuk tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.

 

Suruhanjaya itu berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. 

 

BACA JUGA: SKMM harus hentikan tindakan sekat portal berita dan berkelakuan seperti `Big Brother', kata Wartawan Kanan

 

"Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan. 

 

"Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SKMM berkata, apabila tumpuan diberikan kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya. 

 

Katanya, senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.

 

"Kami telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit. 

 

"Bagi memerangi isu ini, kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat. - DagangNews.com