SLP Resources diunjur berdepan permintaan lemah daripada pasaran eksport pada 2HFY23 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

SLP Resources diunjur berdepan permintaan lemah daripada pasaran eksport pada 2HFY23 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan SLP Resources Berhad berdepan permintaan lemah pada 2HFY23 kesan daripada perbelanjaan pengguna yang lemah di pasaran eksport terutama di Jepun, Australia dan New Zealand.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu didorong  oleh keadaan inflasi yang tinggi dan kelembapan ekonomi.

 

Katanya, selepas berjaya memasang mesin pembungkusan automatik pada 1QFY23, kumpulan itu merancang untuk menambah empat barisan lagi menjelang 3QFY23. 

 

"Terdapat perubahan dalam keutamaan pelanggannya daripada penyelesaian pembungkusan manual kepada automatik untuk kecekapan dan produktiviti yang lebih baik, serta konsistensi dalam kualiti pembungkusan. 

 

"SLP juga sedang memasang mesin penukar baharu untuk menyasarkan sektor produk kebersihan diri," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, firma penyelidikan berkata, pasaran pembungkusan global dijangka berkembang antara 3% hingga 5% setahun didorong oleh produk inovatif dengan kebolehan untuk dikitar semula.

 

Katanya, penge;uar domestik mempunyai kedudukan lebih baik berbanding pesaing luar kerana memiliki kelebihan dari segi kos.

 

Bagaimanapun, sektor berkenaan yang bergantung kepada eksport mungkin menghadapi cabaran jangka pendek di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran 90 sen sesaham.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana campuran produk yang menumpukan pada margin tinggi, produk bukan komoditi dan aliran tunai yang teguh selain kunci kira-kira yang kukuh membolehkan pembayaran dividen yang konsisten," katanya.- DagangNews.com