SLP Resources diunjur terima manfaat peningkatan kuasa membeli pasaran Jepun didorong pengukuhan yen, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

SLP Resources diunjur terima manfaat peningkatan kuasa membeli pasaran Jepun didorong pengukuhan yen, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - SLP Resources Bhd diunjur menerima manfaat daripada peningkatan kuasa beli pasaran eksport utamanya iaitu Jepun berikutan pengukuh yen berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Kenanga Research berkata, kekuatan yen juga dilihat akan membantu mengembangkan industri pelacongan negara itu yang sebahagiannya telah menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk pembungkusan plastik.

 

"Jepun menyumbang kepada hampir 40% daripada jumlah jualan pembungkusan plastik kumpulan itu, terutamanya beg dapur dan sampah, yang sangat disukai oleh pelanggan negara itu selepas mengambil kira kualiti yang tinggi dan pematuhan kepada piawaian kemampanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras 1HFY24 kumpulan itu sebanyak RM8 juta gagal mencapai unjuran, masing-masing hanya 43% dan 44% daripada ramalan ahun penuh dan anggara konsensus.

 

Varians utama terhadap ramalan itu sebahagian besarnya datang daripada tekanan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan untuk filem MDO-PE (filem mono kitar semula sepenuhnya) telah meningkat melebihi 30% (daripada 20% pada suku pertama tahun ini) dengan lebih banyak pertanyaan daripada pasaran domestik dan ASEAN.

 

Bagaimanapun, sesetengah pelanggan luar negara (terutamanya dari Thailand dan Vietnam) menangguhkan pesanan disebabkan mata wang tempatan mereka yang lemah berbanding dolar AS.

 

"Kami menjangkakan tekanan kos logistik yang lebih tinggi (disebabkan oleh kenaikan cukai perkhidmatan) dan potensi kenaikan gaji minimum.

 

"Bagaimanapun, ia kan dikurangkan sebahagiannya dengan automasi buruh yang dipertingkatkan dan secara beransur-ansur menyalurkan kos kepada pelanggan," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana campuran produk kumpulan yang fokus kepada margin tinggi, produk bukan komoditi seperti filem mono, aliran tunai yang teguh dan kedudukan yang menonjol dalam pasaran filem mono serantau.

 

Mereka bagaimanapun menyemak turun ramalan keuntungan bersih FY24-FY25 masing-masing sebanyak 11% dan 16% bagi mencerminkan kos yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.05 sesaham," katanya. - DagangNews.com