Slurp! perkenal pasaran baharu POS di stesen minyak | DagangNews Skip to main content

Slurp! perkenal pasaran baharu POS di stesen minyak

Slurp!

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Selepas berjaya menguasai pasaran dalam sektor makanan dan minuman (F&B), Slurp! tampil dengan sistem terbaharunya iaitu Slurp! Fuel Retail yang merupakan sistem tempat jualan (POS).

Ketua Pegawai Eksekutif Slurp!, Reza Razali berkata, Slurp! Fuel Retail direka untuk peruncit bahan api yang mengendalikan kedai serbaneka pelbagai saiz.

"Kami amat teruja untuk memperkenalkan Slurp! Fuel Retail. Sistem baharu ini bukan sahaja dioptimumkan untuk mengurus jualan dalam kedai serbaneka, tetapi juga disepadukan dengan banyak sistem di pam minyak yang dapat menjadikan perniagaan stesen minyak diurus dengan cekap.

"Slurp! Fuel Retail menggantikan terminal kendiri biasa dengan penyelesaian berasaskan iPad yang moden dan selamat yang penuh dengan ciri-ciri untuk sebarang bentuk saiz perniagaan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Reza Razali
Reza Razali

 

Sistem Slurp! Fuel Retail direka bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi stesen minyak dan mengoptimumkan agihan peringkat kedua termasuk inventori bahan api, meningkatkan pengurusan perniagaan runcit bukan bahan api serta membolehkan perdagangan disatukan.

Sistem itu direka untuk stesen minyak tunggal dan berbilang kedai itu disepadukan dengan pelbagai sistem gred perusahaan seperti pembayaran, keterkaitan jaringan, perkhidmatan awam dan perkakasan.

Slurp! Fuel Retail memberi tahap prestasi dan kebolehpercayaan yang tinggi di samping membolehkan pemilik perniagaan mencapai data perniagaan pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, sistem tersebut juga menyediakan analisis data yang mendalam secara automatik dan membuat pengesyoran kepada pemilik perniagaan.

Jelas Reza lagi, dengan pengenalan sistem baharu ini, jenama Slurp! kini dipasarkan kepada dua sektor perniagaan iaitu F&B dan peruncit bahan api.

"Kami menimba begitu banyak pengalaman daripada lebih 3,000 kedai F&B bersaiz kecil dan sederhana sejak 2014. Kini kami mempunyai sistem POS untuk kedai yang bersaiz kecil higga besar.

"Kami juga sedang meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Kami harap dapat berhubung dengan rakan penjual yang berpotensi di sana," jelas Reza.- DagangNews.com