SME Bank peruntuk RM4.6 juta kepada lebih 700 usahawan mikro B40 melalui Program iTEKAD Penjana Komuniti | DagangNews Skip to main content

SME Bank peruntuk RM4.6 juta kepada lebih 700 usahawan mikro B40 melalui Program iTEKAD Penjana Komuniti

Datuk Dr Aria Putera Ismail - Gambar DagangNews/NAIM AZIZ
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - SME Bank memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 700 usahawan mikro B40 melalui Program iTEKAD Penjana Komuniti sejak tiga tahun lepas. 

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, program tersebut direka khusus untuk memperkasakan usahawan mikro berpendapatan rendah dan membimbing mereka ke arah mencapai daya tahan kewangan.

 

Katanya, Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (Cedar) iaitu anak syarikat milik penuh SME Bank, telah dilantik sebagai pembimbing perniagaan yang memberi fokus terhadap adaptasi kepada perakaunan digital, dan strategi pemasaran melalui media sosial dan penggunaan gerbang pembayaran. 

 

"Setiap peserta yang kekal berada dalam kumpulan sasaran dan memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) akan menerima dana fasilitasi bernilai RM5,000 bagi setiap perniagaan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Fasilitasi Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti di sini, hari ini. 

 

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; timbalannya, Saraswathy Kandasami dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim.

 

Terdahulu, SME Bank memperuntukkan dana fasilitasi bernilai RM1.24 juta kepada 249 peserta menerusi program tersebut pada tahun ini.

 

Menurut Aria Putera, sebagai inisiatif tanggungjawab korporat pihaknya, program kewangan sosial SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti bermula sebagai tindak balas pantas untuk membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) semasa pandemik pada 2020. 

 

 

SME Bank
Salah seorang usahawan terbaik Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti 2023 menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami (dua, kanan). - Gambar DagangNews/NAIM AZIZ

 

 

Katanya, pihaknya menyediakan dana sebanyak RM40,000 bagi melancarkan program yang ketika itu dikenali sebagai Program Penjana Komuniti@SME Bank, yang mana membantu seramai 40 usahawan B40 dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Medan, Petaling Jaya dan PPR Jelatek, Kuala Lumpur.

 

"Melihatkan kepada potensi program tersebut, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan dana sebanyak RM3 juta bagi pelaksanaan siri kedua program Penjana Komuniti pada 2021 yang mana jumlah peserta ditingkatkan kepada 220 orang. 

 

"Pada tahun seterusnya, jumlah peserta ditambah lagi kepada 249 orang yang mana SME Bank membuka peluang kepada orang awam untuk menyumbang kepada tabung program tersebut melalui 'crowd-in fund', sejajar dengan Rangka Kerja Pengurusan Prestasi Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

 

SME Bank
Datuk Ewon Benedick (kiri) dan Datuk Dr Aria Putera Ismail ketika sidang media Majlis Penyerahan Dana Fasilitasi Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti di ibu negara pada 16 November 2023. - Gambar DagangNews/NAIM AZIZ

 

 

"Melalui adaptasi rangka kerja ini, SME bank yang juga institusi kewangan pembangunan perlu mengambil langkah proaktif bagi meluaskan lagi penerima manfaat melalui inisiatif crowd-in fund daripada sektor awam agar dapat menyokong pertumbuhan golongan sasaran seperti usahawan mikro ini. Alhamdulillah, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM400,406 melalui inisiatif tersebut," katanya.

 

BACA JUGA: Pendapatan usahawan mikro B40 meningkat 31% kepada RM2.6 juta selepas sertai Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti 

 

Katanya, keberkesanan dan manfaat besar daripada penganjuran program itu mendapat pengiktirafan apabila BNM mengangkat program tersebut menjadi sebahagian daripada inisiatif iTEKAD BNM bermula tahun ini.

 

"Program iTEKAD merupakan inisiatif rangkuman kewangan yang memastikan setiap segmen masyarakat mendapat akses kepada sokongan kewangan yang bersesuaian, agar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang seimbang dan mampan dapat dicapai," jelasnya. - DagangNews.com