Jualan AME Elite lebih RM350 juta pada 1HFY25, melonjak 166.8% | DagangNews Skip to main content

Jualan AME Elite lebih RM350 juta pada 1HFY25, melonjak 166.8%

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - AME Elite Consortium Berhad mencatatkan jualan sebanyak RM359.1 juta pada separuh pertama berakhir 30 September 2024 (1HFY25), meningkat 166.8% daripada RM134.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Penyedia rumusan ruang industri itu berkata, prestasi kewangan tersebut didorong permintaan aset perindustrian yang tinggi di i-TechValley.

 

“Dengan momentum jualan yang kukuh, AME Elite meningkatkan sasaran jualannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) kepada RM550 juta, meningkat daripada sasaran sebelumnya sebanyak RM400 juta.

 

"Sasaran itu mencerminkan keyakinannya terhadap pertumbuhan sektor hartanah perindustrian.

 

"Ini disokong oleh aliran masuk pelaburan yang semakin meningkat, saluran projek yang mantap dan kemunculan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global dan destinasi pelaburan yang menarik di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Di samping prestasi jualannya yang kukuh, AME Elite merancang untuk mengembangkan jejak taman perindustriannya di seluruh Malaysia. 

 

Kumpulan itu baru-baru ini melancarkan pembangunan terbaharunya bagi Northern TechValley @ BKE di Pulau Pinang, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.

 

Selaras dengan keputusan positif, AME Elite mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran kepada RM19.2 juta bagi FY25, dengan tarikh akhir pada 12 Disember 2024 dan perlu dibayar pada 30 Disember 2024.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AME Elite Consortium Berhad, Dylan Tan Teck berkata, kumpulan telah bersedia untuk pertumbuhan yang mampan.

 

"Peluasan kami ke Pulau Pinang dengan Northern TechValley @ BKE, bersama-sama dengan projek masa depan di Selangor dan JS-SEZ, mengukuhkan lagi kepimpinan kami dalam menyediakan penyelesaian ruang industri," katanya.- DagangNews.com