Solarvest tawarkan program pembiayaan solar tanpa bayaran pendahuluan | DagangNews Skip to main content

Solarvest tawarkan program pembiayaan solar tanpa bayaran pendahuluan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Solarvest Holdings Berhad menawarkan program pembiayaan solar baharu, Powervest yang menawarkan pakej kewangan fleksibel kepada perniagaan untuk menggunakan sistem tenaga tersebut tanpa kos pembayaran pendahuluan.

 

Menerusi Powervest, perniagaan boleh memilih untuk memiliki sistem solar fotovoltan (PV) sepenuhnya dengan pembiayaan sehingga 100% atau memeterai perjanjian pemajakan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, pelancaran Powervest adalah sejajar dengan usaha kumpulan untuk menjadikan tenaga bersih dimiliki dengan lebih mudah, mampu milik dan boleh diakses. 

 

“Beban kewangan menjadi salah satu faktor menghalang penggunaan solar dengan cepat. Ini terutamanya ketika waktu mencabar di mana perniagaan perlu mengurangkan perbelanjaan modal mereka untuk menyimpan wang tunai selain mencari kaedah untuk mengurangkan kos operasi seperti bil elektrik. 

 

Davis Chong Chun Shiong
Davis Chong Chun Shiong

 

“Walaupun kami melihat tiada kaedah tunggal yang bersesuaian untuk semua pelaburan sistem solar PV, namun kami menawarkan penyelesaian pembiayaan yang kami percaya cukup untuk memenuhi hampir semua keperluan kewangan pelanggan yang berpotensi,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Program tersebut terdiri daripada dua model kewangan iaitu Powerflex dan Powerlease yang menawarkan penyelesaian pembiayaan, disasarkan buat pengguna komersial dan perindustrian, mengikut keperluan kewangan mereka.

 

Model Powerflex menawarkan pembiayaan 100% untuk perniagaan yang mahu memiliki sepenuhnya sistem solar PV atau memiliki bersama aset tersebut dengan Solarvest di bawah pembiayaan 50%.

 

Di bawah model Powerlease pula, perniagaan diberi pilihan untuk memeterai perjanjian pemajakan dengan Solarvest bagi penjualan dan pembelian elektrik yang dijana daripada pemasangan sistem solar PV.

 

Ini bermakna, pelanggan dibenarkan untuk membayar kadar tarif itu secara langsung kepada Solarvest dan rakan kongsinya, yang dikatakan sehingga 30% lebih rendah daripada cas yang kebiasaannya dikenakan oleh penyedia utiliti. - DagangNews.com