KUALA LUMPUR 10 Feb - SP Setia Berhad melalui anak syarikatnya Setia HC Ventures Sdn. Bhd. (Setia HC), telah menandatangani perjanjian dengan Qualitas Medical Group Sdn. Bhd. (Qualitas) untuk membangunkan dan mengendalikan Pusat Jagaan Ambulatori (ACC) di Setia Alam, Shah Alam.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Setia Berhad, Datuk Choong Kai Wai berkata, ia adalah usaha pertama syarikat dalam penjagaan kesihatan yang merupakan perniagaan semakin berkembang, memandangkan trend pasaran.
Jelasnya, ACC merupakan pusat pesakit luar yang menyediakan rangkaian perkhidmatan pakar dan pembedahan komprehensif, termasuk kesihatan, diagnosis, rawatan dan pemulihan.
"Mereka bertindak sebagai jambatan antara pusat perubatan dan klinik amalan am sepenuhnya. Keperluan untuk perkhidmatan tersebut boleh diakses dengan mudah di kawasan perbandaran yang menempatkan keluarga pelbagai generasi seperti Setia Alam," katanya dalam satu kenyataan.
Choong berkata, syarikat telah meneroka perniagaan baharu yang akan melengkapkan kekuatan untuk mengubah pendapatan.
"ACC memerlukan pelaburan modal yang agak kecil, adalah satu potensi yang dikenal pasti. Dipercepatkan oleh pandemik baru-baru ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan mempunyai prospek kukuh buat masa ini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, ACC telah dikenal pasti sebagai salah satu elemen untuk meningkatkan perbandaran Setia Alam, yang telah terbukti sebagai pembangunan mapan sejak dua dekad lalu.
"Kami menjangkakan mencontohi perkara sama di perbandaran dan projek Setia yang lain dalam masa terdekat," katanya.
Katanya, syarikat akan bekerjasama dengan rakan strategik seperti Qualitas yang akan membawa teknikal pengetahuan, pengalaman operasi dan rekod prestasi yang baik dalam industri.
Dalam pada itu, Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Qualitas, Datuk Dr. Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata, pihaknya berbesar hati sebagai rakan kongsi SP Setia pertama dalam usaha penjagaan kesihatannya.
"Lokasi ACC adalah strategik, dan kami menjangkakan bahawa kerjasama ini akan mengukuhkan tawaran Qualitas dalam pelbagai bidang yang kita ada sekarang dan seterusnya.
"Kepakaran Qualitas dalam mengendalikan dan menguruskan pusat pesakit luar dan pengalaman SP Setia dalam perbandaran yang berjaya akan membentuk dan perkongsian kukuh yang membuahkan hasil untuk usaha sama itu,” katanya.
Pusat komersialnya yang dikenali sebagai Setia City, telah menjadi rumah kepada ibu pejabat korporat SP Setia, Setia City Mall, Pusat Konvensyen Setia City dan Kompleks Institut Kesihatan Negara.
Courtyard by Marriot dan Kossan Rubber Industries Bhd akan menyertai senarai banyak nama dan jenama korporat terkenal tidak lama lagi. - DagangNews.com