SPRM bakal bentang kertas Kabinet pelantikan KP dan penubuhan suruhanjaya | DagangNews Skip to main content

SPRM bakal bentang kertas Kabinet pelantikan KP dan penubuhan suruhanjaya

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam peringkat menyediakan kertas Kabinet yang bakal dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diluluskan.

Perkara tersebut ialah berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

SPRM dalam sebuah kenyataan berkata, perkara itu seterusnya akan diusulkan di Parlimen pada sidang yang terdekat sekiranya diluluskan oleh Jemaah Menteri. 

“Bagi memperkasa dan menjamin kebebasan suruhanjaya berkenaan, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) baru-baru ini telah mempersetujui dua perkara yang diusulkan.

“Kedua-dua cadangan ini merupakan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan,” kata SPRM.

 

Datuk Seri Azam Baki
                                       Azam Baki

 

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kerajaan telah bersetuju supaya pelantikan jawatan tertinggi itu selepas ini dibuat melalui undian ahli Parlimen.

Sekiranya ditamatkan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, ia juga perlu melalui tribunal khas dan tidak boleh ditamatkan begitu sahaja oleh Yang di-Pertuan Agong atau atas nasihat Perdana Menteri. - DagangNews.com