KUALA LUMPUR 30 Ogos - Infomina Berhad, melalui platform digital komprehensif SSM Search, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan YYC taxPOD, anak syarikat YYC Group pada Khamis bagi meningkatkan perkhidmatan usaha wajar perniagaan dan memacu perkongsian pertumbuhan yang mampan.
Menerusi MoU itu, Infomina AI, anak syarikat Infomina akan menyediakan YYC taxPOD dengan perkhidmatan lanjutan untuk mengurus, menganalisis dan memanfaatkan data korporat daripada Carian SSM melalui penyepaduan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) menjelang 4Q2024.
Menurutnya, perkhidmatan yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu akan menolong perniagaan membuat keputusan yang lebih baik dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Sementara itu, pelanggan YYC taxPOD boleh segera mengakses maklumat korporat sah melalui platform SSM Search bagi memperkemaskan proses usaha wajar mereka, memastikan pematuhan dan meningkatkan kecekapan operasi dengan segera.
Infomina berkata, perkongsian tersebut mengukuhkan lagi komitmen Infomina menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan besar dengan memudahkan mereka mengakseskan maklumat perniagaan korporat yang sah.
"Dengan meluaskan perkhidmatan tersebut kepada rangkaian perniagaan di Malaysia dan rantau ASEAN akan memberikan mereka akses kepada pertumbuhan mampan dan meningkatkan ketelusan korporat," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
MoU itu ditandatangani secara rasmi oleh Pengarah Urusan Infomina Berhad, Yee Chee Meng, Pengarah Eksekutif Infomina AI Sdn Bhd, Low Guan Leong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YYC, Datin Yap Shin Siang dan Ketua Pegawai Eksekutif YYC taxPOD, Ivan Chan Koon Loon.
Majlis tandatangan MoU itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan), Khuzairi Yahaya dan Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohamad Awi Ibrahim dan FDI dan Pengurus DDI Pejabat Pelaburan Digital dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Aizat Hashim.
Meng berkata, kerjasama itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan Infomina untuk memperkasakan perniagaan dengan menyediakan akses lancar kepada maklumat korporat.
“Dengan kerjasama YYC taxPOD, kami akan menyokong perniagaan dari semua saiz dalam membuat keputusan termaklum, terutamanya PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Datin Yap berkata, perkongsian tersebut membolehkan YYC taxPOD untuk terus menyediakan perkhidmatan menyediakan akses kepada data korporat yang boleh dipercayai kepada pelanggannya sekali gus menyelaraskan proses usaha wajar dan menegakkan standard perkhidmatan tertinggi.- DagangNews.com