KUALA LUMPUR 21 Jun - Axiata Group Berhad dan Telenor ASA didakwa bakal memeteraikan perjanjian gabungan syarikat telekomunikasi (telco) yang dimiliki mereka di Malaysia, Celcom Axiata Berhad dan Digi.Com Berhad seawal hari ini.
Menurut sumber, gabungan entiti yang sebelum ini disahkan bakal dikenali sebagai Celcom Digi Berhad itu akan bernilai lebih daripada RM45 bilion, seperti dilaporkan Bloomberg.
Ahli Lembaga Pengarah Axiata dan Telenor dilaporkan telah meluluskan urus niaga itu dan satu pengumuman didakwa akan dibuat seawal hari ini.
Sumber bagaimanapun mengingatkan bahawa pengumuman itu mungkin berdepan kelewatan dan transaksi berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia.
Sekitar April lalu, kedua-dua syarikat induk kepada Celcom dan Digi itu mengumumkan bahawa mereka dalam perbincangan lanjut berhubung gabungan tersebut yang seterusnya akan membentuk telco terbesar di Malaysia.
Baca : Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia
Gabungan itu juga bakal menandakan perjanjian telco terbesar di dalam negara, melepasi nilai pengambilalihan Binariang GSM ke atas Maxis Communications Berhad pada tahun 2007, di mana bernilai RM41 bilion, menurut data yang dikumpul Bloomberg.
Berdasarkan makluman Axiata pada 8 April lalu di Bursa Malaysia, kedua-duanya akan memegang kepentingan setara iaitu 33.1% yang bakal menyaksikan jumlah pelanggan mencecah 19 juta dan hasil proforma sekitar RM12.4 billion.
Setakat 12.04 tengah hari, harga saham Axiata menyusut 8 sen kepada RM4.01, sementara Digi pula menyaksikan harga sahamnya menokok 6 sen kepada RM4.24 pada 12.05 tengah hari. - DagangNews.com