Suntikan iklan PRU-15 ‘harapan utama’ syarikat media | DagangNews Skip to main content

Suntikan iklan PRU-15 ‘harapan utama’ syarikat media

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Selepas bertahun-tahun berdepan cabaran pembaharuan digital, sektor media di Malaysia terus merudum ke tahap terendah dalam sejarah pada tahun ini. 

 

Ketidaktentuan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi telah mencetuskan saham dalam pasaran dijual secara besar-besaran pada pertengahan Mac 2020.

 

Apatah lagi ekuiti syarikat media sememangnya rendah, menjunam sebanyak 7.7% hingga 47% sepanjang satu tahun ini berakhir 7 Disember 2020.

 

Bagaimanapun, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dijalankan pada 2021, maka pembelian iklan ‘bonanza’ akan berlaku, ramal CGS-CIMB Research. 

 

“Kami tidak menolak kemungkinan PRU dijalankan selepas pandemik COVID-19 berjaya dibendung. 

 

“Sekiranya berlaku, syarikat-syarikat media di bawah liputan kami akan menyaksikan peningkatan penjualan iklan,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan kepada media tempatan bahawa gabungan pemerintah itu mungkin menjalankan PRU pada Oktober 2020 sekiranya kes COVID-19 tidak meningkat sekali lagi di Malaysia. 

 

Melihatkan PRU pada Mei 2018 lalu, parti politik dan organisasi kerajaan mengeluarkan sehingga RM671 juta untuk dibelanjakan bagi iklan dalam media tradisional. 

 

Perbelanjaan itu merangkumi 13% daripada nilai pasaran pada tahun berkenaan, kata CGS-CIMB.

 

Semua syarikat-syarikat media yang disenaraikan CGS-CIMB seperti Utusan Melayu (M) Berhad, Media Prima Berhad dan Star Media Group Berhad menerima kelebihan daripada pembelian iklan oleh parti politik pada beberapa PRU yang lalu. 

 

“Dalam setiap dua suku tahun menghampiri pilihan raya, setiap keuntungan syarikat media meningkat 0.4% hingga 48% berbanding tahun sebelumnya. 

 

“Sudah tentu apabila media digital semakin terkenal, penempatan iklan politik dalam media tradisional berkurangan sejak dua pilihan raya lalu. 

 

“Parti-parti politik sebaliknya meningkatkan peruntukan mereka dalam pemain media digital seperti Google Inc., Facebook Inc., dan pemilik-pemilik blog individu,” jelas CGS-CIMB.

 

Bagi CGS-CIMB, masih terdapat permintaan ruang iklan media tradisional berdasarkan peningkatan 41.4% dalam pertumbuhan perbelanjaan iklan pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding suku sebelumnya. 

 

Apabila vaksin COVID-19 diedarkan, CGS-CIMB menjangkakan situasi itu mendorong pembelian iklan dengan harapan kuasa pembelian pengguna pulih. 

 

Bagaimanapun, secara realisitiknya, firma penyelidik itu tidak merasakan keuntungan syarikat-syarikat media kembali ke paras sebelum COVID-19.  - DagangNews.com