KUALA LUMPUR 8 Ogos – Sunview Group Berhad menerusi dua anak syarikatnya, Fabulous Sunview Sdn. Bhd. dan Solarcity REIT Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai pengeluar tenaga solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
Solarcity REIT, adalah satu daripada 22 entiti yang dipilih untuk menjadi pengeluar tenaga solar di bawah CGPP, telah diperuntukkan kapasiti eksport sebanyak 29.99 megawatt (MWac), iaitu kuantum maksimum yang diberikan kepada pengeluar tenaga solar (SPP).
Sementara itu, melalui konsortium dengan JAKS Solar Power Sdn. Bhd. dan Ann Joo Green Energy Sdn. Bhd., Fabulous Sunview Sdn. Bhd. juga telah diperuntukkan dengan kapasiti eksport sebanyak 29.99MWac.
Suruhanjaya Tenaga Malaysia mendedahkan bahawa daripada 71 pemohon untuk menjadi pengeluar tenaga solar, 22 telah dipilih dengan gabungan kapasiti eksport yang diperuntukkan sebanyak 563.42MWac.
Daripada jumlah kuota peruntukan 800MWac, baki 236.58MWac masih belum diberikan. SPP yang dipilih dikehendaki mengemukakan permohonan kepada Pembeli Tunggal untuk penyertaan dalam program NEDA, sebagai sebahagian daripada langkah seterusnya dalam proses dalam tempoh tiga bulan dari Surat Pemberitahuan.
CEO & Pengarah Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, dengan menjangkakan kuota baki 236.58MWac masih tersedia untuk tender, pihaknya optimistik untuk mendapatkan lebih banyak projek di bawah inisiatif CGPP, yang dijangka memacu penggunaan tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.
"Memandangkan kedudukan kami dalam ruang tenaga boleh diperbaharui, kami melihat banyak peluang di hadapan di mana kami akan dapat mencontohi kejayaan kami dengan memanfaatkan pengalaman kami dan rekod prestasi terbukti dalam EPCC dan aktiviti berkaitan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Sunview ialah sebuah syarikat pemegangan pelaburan. Melalui anak-anak syarikatnya, Sunview terlibat terutamanya dalam penyediaan kemudahan solar fotovoltaik (PV) EPCC. Kemudahan tersebut adalah untuk projek solar berskala besar, bangunan perindustrian, komersial dan kediaman, PV solar dan perkhidmatan pemasangan, penjanaan dan bekalan tenaga solar serta produk dan perkhidmatan yang berkaitan untuk melengkapkan perkhidmatan teras Kumpulan.
Sunview didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia sebagai Pembekal Perkhidmatan Suria dan pelabur Solar PV, kontraktor bertauliah Tenaga Nasional Berhad, kontraktor elektrik dan Syarikat Perkhidmatan Tenaga di bawah Suruhanjaya Tenaga dan kontraktor G7 Lembaga Pembangunan Industri. - DagangNews.com