Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Mac. - Pemberi pinjaman dilihat lebih mengetatkan syarat dan kriteria kelulusan pinjaman di seluruh kemudahan kredit sepanjang tiga suku pertama tahun 2020.
Menurut analisis yang dikeluarkan Experian Information Services (Malaysia), bagi tempoh Jun hingga September 2020, kriteria pemberian pinjaman yang ketat dapat dilihat sewaktu ekonomi berdepan cabaran akibat wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dawn Lai berkata, pemberi pinjaman meluluskan permohonan yang mempunyai gred risiko kredit yang lebih baik (RG 8-10) dalam portfolio kad kredit dan pinjaman peribadi pemohon.
Katanya, trend yang serupa telah direkodkan dalam portfolio kredit bercagaran untuk gadai janji dan sewa beli.
Berikut adalah graf kelulusan gred risiko kemudahan kredit (Jan 2020 - Sep 2020);
Gred Risiko (GE) di bawah i-Score Experian dinilai lebih baik pada RG 8-10, sementara RG 1-4 menandakan risiko yang lebih tinggi.
"Trend konservatif ini berkemungkinan besar akan berterusan berikutan ketidakstabilan ekonomi yang masih berlanjutan, kewujudan kes COVID-19 serta ketidakpastian politik dan keadaan darurat Malaysia ketika ini.
"Walaupun tahun 2020 adalah amat mencabar, skor risiko kredit tetap kukuh secara umumnya. Ini mungkin disebabkan pelbagai pengenalan inisiatif dan langkah rangsangan daripada kerajaan.
"Namun dalam jangka masa panjang, apabila bantuan ini berkurangan, impak sebenar mungkin akan muncul dan mempengaruhi ekonomi, kelestarian syarikat dan pekerjaan," jelasnya dalam satu kenyataan.
Dapatan analisis Experian itu turut mencerminkan data Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2020/2021 yang mencatatkan sebahagian besar hutang isi rumah merangkumi pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman (55.9%) pinjaman peribadi (14.2%) dan kereta penumpang (12.3%).
Dalam tujuh bulan pertama pada tahun 2020, kelulusan dan pengeluaran pinjaman turun sebanyak 22% dan 7.3% kepada RM185.5 bilion dan RM657.1 bilion.
Pinjaman seisi rumah juga bergerak perlahan dengan kelulusan pinjaman yang menurun sebanyak 30% kepada RM88.9 bilion.
Tambah beliau lagi, sebarang keputusan membabitkan kredit memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seseorang individu.
"Dengan ketidaktentuan ekonomi yang bakal kita tempuhi, kami menggesa rakyat Malaysia untuk tetap proaktif dan mendalami hal ehwal pengurusan kredit dan kewangan mereka agar mereka dapat merancang masa hadapan di samping menguatkan langkah pemulihan masing-masing selepas ini,” katanya lagi. - DagangNews.com